mutakhir

Maut bertembung lori sampah

Melaka: Seorang pemandu van maut selepas kenderaan itu bertembung dengan lori sampah di Batu 10 Jalan Tangga Batu, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Ezrie Abu Samah, 36, yang memandu Kia Pregio tersepit hampir 20 minit sebelum mayatnya dikeluarkan sepasukan anggota bomba.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Sungai Udang menuju Bukit Rambai dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Ketika itu lori sampah dari arah bertentangan gagal mengelak van menyebabkan berlaku pelanggaran. Van terbabit remuk teruk menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya.

“Pemandu lori sampah dan dua pekerja pembersihan dilaporkan hanya cedera ringan,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan alat khas untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2016 @ 7:30am
d