mutakhir

Bayi hidap sindrom Wolf Hirschhorn terima simpati pasar raya Econsave

Melaka: Keluarga kepada Nur Qaseh Amanda Hussaini, 5, iaitu kanak-kanak yang menghidap Sindrom Wolf Hirschhorn terharu menerima bantuan barangan keperluan daripada pasar raya Econsave, semalam.

Ibu Nur Qaseh, Muliati Muslim, 33, berkata, pasar raya Econsave Malim adalah pihak swasta pertama menghulurkan bantuan kepada Nur Qaseh Amanda yang menghidap sindrom yang jarang dikesan di dunia.

Menurutnya, mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suami Hussaini Amir, 34, sebanyak RM2,000 sebulan dan kini menumpang di rumah kakaknya.

“Sumbangan susu ini cukup untuk keperluan anak selama dua bulan, saya berterima kasih dengan kesudian Econsave memberi bantuan yang mampu mengurangkan beban kewangan suami.

“Sebelum ini beberapa pihak tampil mengambil butiran mengenai keperluan yang sesuai untuk Nur Qaseh Amanda, tapi mereka belum menyampaikan apa-apa sumbangan setakat ini,” katanya di Kampung Solok Biak, Tanjung Kling, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, selain sumbangan makanan dan keperluan harian Nur Qaseh Amanda, dia memerlukan bantuan memastikan anaknya mendapat rawatan sewajarnya.

Katanya, Nur Qaseh Amanda perlu menjalani rawatan susulan seperti fisiotetapi, namun pergerakannya terbatas kerana tidak mempunyai kenderaan untuk menghantar anaknya ke hospital.

Selain Nur Qaseh Amanda, pasangan Muliati dan Hussaini mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Aliff Naufal, 6, dan Muhammad Arrian Zafrel berusia setahun.

Pengurus Pasar Raya Econsave Malim Fiona Loi Chee Eng berkata, pihaknya menyampaikan barangan keperluan selepas terbaca kisah kanak-kanak itu yang disiarkan di Harian Metro.

“Bantuan ini lebih kepada keperluan untuk Nur Qaseh Amanda, selain barangan keperluan harian bagi kegunaan ahli keluarga mereka bernilai RM1,000.

“Kunjungan ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami membantu golongan kurang bernasib baik. Kami berharap pihak korporat mahupun badan berkaitan lain tampil membantu Nur Qaseh Amanda,” katanya.

Fiona berkata, pihaknya berharap ada pihak sudi menampung kos perjalanan dan perubatan kanak-kanak malang itu berikutan ibu bapanya berhadapan masalah kewangan.

Pada 28 April lalu, Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri berdepan dugaan menjaga anak Sindrom Wolf Hirschhorn iaitu sejenis sindrom gangguan kromosom.

Disiarkan pada: May 11, 2016 @ 6:32am
d