mutakhir

Mahligai pondok usang

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: “Hanya ini yang mampu saya sediakan untuk anak-anak dan selama tempoh enam bulan, tiada siapa tahu kami lima beranak tinggal di pondok usang dalam semak ini,” kata penoreh getah Wahidan Daud, 58.

Wahidan dan keluarga menempuh pengalaman hidup getir selama setengah tahun tinggal di pondok usang dalam ladang getah berhampiran Taman Putri, di sini, selain bergantung hidup kepada sumber alam semujadi di situ.

Dia dan isteri, Kamariah Kahar, 40, serta tiga anak berusia lima, sembilan dan 16 tahun hanya bergantung kepada sumber air anak sungai untuk diminum dan memasak, selain menggunakan pelita menerangi pondok pada waktu malam.

Mereka memasak menggunakan dapur kayu dan kebiasaannya mencari pucuk tumbuhan yang hidup di kawasan ladang getah itu sebagai sayuran, selain memancing ikan di sungai berdekatan untuk dijadikan lauk.

Wahidan bersyukur diterima bekerja sebagai penoreh getah di ladang berkenaan, malah dibenarkan tinggal di situ biarpun tiada bekalan air dan elektrik.

Mempunyai status sebagai Penduduk Tetap (PR), Wahidan dan keluarganya sebelum ini tinggal di Flat Taman Putri, di sini, namun terpaksa berpindah kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan bil air serta elektrik yang tertunggak beberapa bulan.

“Tinggal di pondok ini, anak-anak mengadu tidak selesa kerana tiada kemudahan dan tidak tahan gigitan nyamuk, tetapi lama-kelamaan mereka mengerti dan reda,” katanya.

Wahidan mendapat upah RM1 untuk sekilogram getah ditorehnya dan kurang RM200 sebulan menjadikan pendapatannya jauh daripada mencukupi untuk menampung kehidupan.

Kehidupan Wahidan menjadi lebih mencabar apabila terpaksa memberi tumpuan kepada isterinya yang mengalami masalah mental, selain kerap menghilangkan diri dari rumah.

Wahidan perlu membayar RM50 setiap kali mahu mengambil ubat untuk isteri kerana dia bukan warganegara, sekali gus menyebabkannya sering terputus bekalan ubat kerana kesempitan wang.

“Saya bersyukur anak perempuan berusia 17 tahun sudah berkahwin dan tidak tinggal bersama merasai keperitan hidup ini.

“Anak lelaki berusia 16 tahun kini bekerja di gerai makanan bagi meringankan beban. Namun kebimbangan saya bukan saja mengenang keselamatan keluarga, malah anak juga tidak bersekolah,” katanya.

Semua anak Wahidan tidak mempunyai sijil kelahiran kerana isterinya berasal dari Indonesia dan berhijrah ke Malaysia selepas berkahwin di negara berkenaan dan hanya memiliki taraf PR.

“Semua anak kami dilahirkan di Johor, tetapi mempunyai masalah mendaftar kelahiran kerana sijil pernikahan kami hilang.

“Oleh itu, status warganegara anak sering menjadi tanda tanya dan saya berharap ada pihak membantu mereka supaya memiliki masa depan lebih cerah,” katanya.

Kehidupan serba kekurangan lima beranak itu terbongkar apabila seorang sukarelawan Jeffri Senin yang menemui keluarga terbabit mendedahkannya di Facebook.

Selepas pendedahan itu, keluarga terbabit dikunjungi Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kulai.

Pegawai JKM Kulai Mohd Iskandar Abu Bakar berkata, dua anak perempuan Wahidah diselamatkan pihaknya dan diberikan perlindungan sementara.

“Kami merujuk permasalahan kanak-kanak itu yang tiada dokumen pengenalan diri dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Ketika kunjungan ke pondok mereka, kami turut menyampaikan bantuan segera RM300,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2016 @ 6:36am
d