mutakhir

Terbabas nak lolos diri

Oleh Na'imah Mohamed

Shah Alam: Seorang penjenayah berusia 25 tahun yang berhenti di tepi jalan untuk berehat ditahan tidak lama kemudian selepas gagal melarikan diri daripada anggota MPV polis dalam kejadian di Seksyen 16 di sini, jam 11.40 malam, Ahad lalu.

Terdahulu, kereta dinaiki suspek dihampiri anggota MPV yang mahu melakukan pemeriksaan namun suspek terus memecut dari situ.

Anggota MPV mengejar dan tidak lama kemudian, kereta dipandu suspek hilang kawalan sebelum terbabas di selekoh berhampiran stesen minyak di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemeriksaan mendapati suspek terbabit dengan sembilan kes curi serta ragut di sekitar hospital swasta di Shah Alam dan Nilai, Negeri Sembilan sejak Januari lalu.

“Pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek menemui beberapa kad pengenalan milik individu lain bersama barangan curi. Siasatan mendapati, suspek menumpukan kegiatannya di kawasan hospital swasta dengan memecahkan cermin kenderaan selain menceroboh ke bangunan pusat perubatan berkaitan sebelum mencuri barangan milik mangsa.

“Suspek bergerak berseorangan dan hasil rampasan dianggarkan bernilai lebih RM15,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam.

Disiarkan pada: May 11, 2016 @ 6:49am
d