mutakhir

Setia sepanjang hayat

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menegaskan konsep kesetiaan sepanjang hayat terhadap UMNO perlu dijiwai dan didokong sepenuhnya setiap ahli parti itu.

Menurutnya, kesetiaan nilai asas kepada keutuhan parti biarpun berdepan pelbagai krisis sejak ditubuhkan hingga kini.

“Apa erti seseorang menjadi ahli parti, asasnya mesti sayang kepada parti. Kalau tidak sayang parti, kita mungkin melakukan sesuatu yang merosakkan parti atau lebih teruk daripada itu boleh khianati parti kita.

“Sebab itu, dalam sejarah saya dalam parti, dalam saat saya berdepan kekecewaan tidak terlintas saya akan meninggalkan parti.

“Malah, saya hendak nyatakan kalau satu hari nanti, takdirnya saya mempunyai masalah dengan pengganti saya, saya tetap tidak akan keluar UMNO. Sebab saya tahu jasa UMNO, budi UMNO, makna UMNO kepada bangsa Melayu, agama Islam serta pada negara keseluruhan dan pada diri saya serta keluarga saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual Bersama Presiden UMNO Najib Razak sempena Ulang Tahun UMNO ke-70 di TV1, semalam dihoskan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Perdana Menteri berkata, biarpun berdepan beberapa siri krisis, UMNO kukuh bertahan selama enam dekad kerana ahlinya sentiasa mengutamakan perpaduan dan cinta kepada parti.

“Bila ada krisis, besar kepada parti kita bertaut kembali. Krisis terbesar parti, kita lihat pengasas parti Datuk Onn Jaafar keluar parti 1951 tapi tidak menjejas parti UMNO. Kita ada masalah UMNO diharamkan. Masih lagi kita dapat tubuh UMNO semula, dapat menentukan kelangsungan kuasa.

“Jadi asasnya, kita mesti balik kepada cinta kepada parti, setia pada perjuangan parti. Sebab itu saya nak mengajukan dalam sambutan 70 tahun UMNO, konsep kesetiaan ini sepanjang hayat, maknanya kita lahir dalam UMNO, kita besar dalam UMNO, dewasa dan mati dalam UMNO,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas pandangan pihak lain terhadap UMNO yang dilabel sebagai ‘Abang Besar’, Najib menegaskan parti itu bersifat sederhana dan tidak menekan parti lain.

“Pada saya UMNO sebagai sebuah keluarga besar, 13 parti dalam BN, kestabilan bergantung kepada sebuah parti yang jadi teras. Bila UMNO jadi teras, BN jadi stabil, kalau satu atau parti keluar tidak terjejas. Kalau tiada teras, semua parti hampir sama kekuatan, jadi tiada parti disegani dan boleh beri kata putus,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun UMNO mesti adil dan tidak menekan parti lain.

Disiarkan pada: May 11, 2016 @ 7:01am
d