mutakhir

Harap rahmat

Oleh Aizat Sharif

Arau: “Keutamaan saya ketika ini mahu melihat semula wajah Nurhidayah normal dan mampu mengukir senyuman apabila dewasa kelak.”

Begitu kata Nurbustaniah Hussin, 21, yang berharap pembedahan kecacatan sumbing muka ke atas anaknya, Nurhidayah Fatihah Mohamad Sejawi, lima bulan, berjalan lancar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, pada Isnin depan.

Nurbustaniah berkata, segala keprihatinan diterima daripada orang ramai rahmat dan rezeki buat anak bongsu daripada dua beradik itu, tambahan pula kecacatan anaknya itu semakin serius.

“Bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), MuslimCare Malaysia dan individu membuatkan kami sekeluarga rasa terharu kerana mereka begitu prihatin untuk membiayai kos Nurhidayah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan dan melakukan solat hajat buat anak saya,” katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Arau, di sini, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, bagi menjalani pembedahan anaknya itu.

Perjalanan Nurhidayah ditemani bapanya, Mohamad Sejawi Abdul Rahman, 21, dan tiga ahli keluarga serta dua pengiring daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Perlis.

Mereka bertolak dari Stesen Keretapi Arau pada jam 5 petang dan dijangka tiba pada jam 10 malam.

Sementara itu, ibu angkat Nurhidayah, Suhafiza Johari, 29, berkata, keluarga terbabit dibawa ke rumah penginapan di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA) di Bangi, sebaik tiba di Kuala Lumpur.

“Bermula esok (hari ini) sehingga tarikh pembedahan (16 Mei), dia diletakkan di bawah jagaan pakar di hospital itu,” katanya.

Difahamkan, daging bahagian paha bayi diambil untuk digunakan bagi menutup bahagian muka yang sumbing.

Difahamkan, kos perjalanan kereta api ke ibu negara dibiayai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan penginapan dibiayai JPAM.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan penderitaan Nurhidayah yang menderita sumbing muka.

Disiarkan pada: May 12, 2016 @ 5:29am
d