mutakhir

'Toyol' masjid tamak

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Rawang: “Penjenayah itu tamak dan tidak pernah serik walaupun tiga kali memecah tabung masjid. Malah, kini dia membawa bersama alat pemotong besi,” kata setiausaha Masjid Nurul Iman, Sulaiman Abu berhubung kejadian pecah tabung derma Isnin lalu.

Dalam kejadian terbaru jam 8 pagi isnin lalu, suspek berusia 30-an dilihat masuk ke masjid membawa pemotong besi untuk memecahkan tabung masjid itu.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakam tindakan suspek semasa memecahkan dua tabung masjid.

“Saya tak percaya, suspek menggunakan pemotong besi untuk membuat lubang di atas tabung besi itu.

“Rakaman CCTV menampakkan percikan api keluar ketika suspek memotong besi tabung masjid,” katanya.

Difahamkan, seorang daripada ahli jawatankuasa, Nurhayati Kipli, 30-an, terserempak suspek di dalam masjid sebelum berlaku pergelutan ketika suspek cuba melarikan diri.

“Pada Isnin lalu ada program dhuha dan kebiasaannya ahli jawatankuasa masjid datang awal membuat persiapan.

“Dia mendakwa pencuri itu menyamar kononnya bendahari masjid. Dia yang tidak berpuas hati cuba menarik beg berisi wang dibawa suspek,” katanya.

Menurutnya, penjenayah bagaimanapun melarikan diri dengan menaiki motosikalnya walaupun tercicir kunci motosikal itu.

Sulaiman berkata, suspek dianggap profesional berikutan memasuki masjid dengan tenang.

“Kejadian curi pertama berlaku pada bulan November tahun lalu. Kejadian kedua pula berlaku pada Mac lalu.

“Pencuri berpakaian kemas dengan memakai jaket mengaburi kegiatannya,” katanya.

Dia berkata, enam CCTV di dalam masjid namun pencuri masih berani melakukan jenayah.

“Anggaran kerugian RM300 hingga RM400,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2016 @ 7:45am
d