mutakhir

Tebus emas digadai

Oleh Baharom Bakar

Marang: “Saya akan gunakan wang tunai disumbangkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menebus barang kemas yang saya gadai untuk membeli ubat dan peralatan bantuan perubatan.

“Baki wang itu saya akan gunakan bagi membiayai tambang pengangkutan untuk membawa Muhammad Luqman Haziq Muhammad Susman menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bulan depan,” kata Hanisah Latifah Mohammad, 41, dari Kampung Sungai Atas Tol, di sini, semalam.

Hanisah Latifah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai RM11,000 dan barangan makanan disampaikan wakil bekas pelajar MRSM Taiping pada 1985 dan 1989, Mohd Azlan Saharudin.

Penderitaan Muhammad Luqman Haziq berusia tiga tahun setengah dan Hanisah Latifah yang menggadaikan barang kemas untuk membeli ubat dan pelbagai peralatan bantuan perubatan disiarkan melalui laman sosial Facebook (FB) mendapati simpati bekas pelajar MRSM.

Bekas pelajar MRSM Taiping berjaya mengumpul wang tunai disumbangkan rakan mereka RM11,000 dalam tempoh sebulan.

Hanisah Latifah yang bekerja sebagai pembantu tadbir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menyediakan perbelanjaan RM1,000 sebulan untuk membeli ubat dan pelbagai peralatan bagi menyedut lendir dalam paru-paru dan kerongkong Muhammad Luqman Haziq.

Menurutnya, anaknya dibawa ke HSNZ setiap dua bulan sekali untuk melakukan pembedahan di lehernya bagi memasukkan tiub kecil sepanjang empat hingga lima sentimeter ke dalam paru-parunya.

“Setiap kali melakukan pembedahan, saya membelanjakan RM4,200 untuk membeli tiub dan belon bagi memudahkan kerja mengepam lendir yang tersumbat dalam kerongkong serta paru-parunya,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2016 @ 5:11am
d