mutakhir

Berkat anak angkat

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: “Saya percaya rezeki mengandungkan anak dibawa oleh anak angkat kerana sebelum ini saya dan suami menunggu khabar gembira itu tetapi tiada,” kata wanita yang ingin dikenali sebagai Hannah, 40.

Bercerita kepada Harian Metro, wanita yang bekerja sebagai pakar perubatan itu berkata, selepas menunggu kehadiran cahaya mata selama tiga tahun, dia dan suami membuat keputusan mengambil anak angkat kerana ingin merasai pengalaman menjadi ibu bapa.

Dia berkata, mereka bernasib baik kerana keluarga kedua-dua belah pihak menyokong hasrat berkenaan tanpa tentangan.

“Sejak itu, kami berdua tidak jemu melayari Internet bagi mengetahui maklumat mengenai proses pengambilan anak angkat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu merealisasikan hasrat berkenaan.

“Waktu itu kami mula mengetahui kewujudan Yayasan OrphanCARE yang menyediakan perkhidmatan bagi proses pengambilan anak angkat yang betul.

“Kebetulan, kami tidak perlu menunggu lama kerana ada bayi yang baru dilahirkan dan memerlukan penjaga membuatkan kami bersetuju memeliharanya sejak 2010,” katanya pada Majlis Minum Petang Bersama Ibu Bapa Angkat dan Anak Angkat Yayasan OrphanCARE di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri 40 pasangan bersama anak angkat masing-masing.

Hannah berkata, pengalaman menjaga anak angkat yang dianggap seperti anak kandung itu cukup mengujakan kerana mereka berdua sentiasa mempelajari perkara baru terutama dalam aspek keibubapaan.

“Danisha (bukan nama sebenar) seolah-olah faham tanggungjawab kami yang menjadi ‘ibu bapa segera’. Dia langsung tiada masalah dan tidak banyak kerenah terutama pada waktu malam.

“Dua tahun kemudian, saya disahkan hamil. Selepas anak kandung berusia dua tahun, saya ambil seorang lagi anak angkat.

Dia berkata, walaupun dua daripada anaknya anak angkat, namun kasih sayang diberikan keluarga sama seperti anak kandung.

“Saya selalu memaklumkan kepada anak angkat mengenai status sebenar sejak dari kecil kerana tidak mahu mereka kecewa apabila mengetahuinya dari mulut orang lain nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Yayasan OrphanCARE Anis Nor Tajul Arus berkata, sejak 2010 hingga kini, pihaknya menyatukan 137 bayi bersama keluarga angkat.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:03am
d