mutakhir

Khazanah buka pejabat di London

Oleh A Jalil Hamid melaporkan dari London

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar berkata syarikat pelaburan strategik kerajaan itu memasuki pentas antarabangsa secara berhati-hati pada 2004 - mengatur langkah demi langkah bermula di Indonesia dan beberapa pasaran berdekatan Malaysia.

Dalam laluan membina keyakinan dan terus meniti pelbagai kejayaan, Khazanah melakar sejarah tersendiri minggu ini dalam mengukuhkan kedudukannya di peringkat global.

Esok, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan anak syarikatnya di Eropah di sini, yang berfungsi menasihat dan menyokong pelaburan firma itu di rantau ini - rantau yang memiliki kepentingan strategik bagi Khazanah.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah dijadual berucap pada majlis di pejabat Khazanah Europe Investment Limited (KEIL) bertempat di tingkat 22 mercu tanda terbaru London, The Shard.

Kira-kira 100 hadirin merangkumi pemimpin kerajaan, perniagaan dan ahli akademik dari Malaysia serta United Kingdom (UK) dijangka menghadiri majlis khusus buat tetamu diundang sahaja di bangunan pencakar langit ikonik setinggi 95 tingkat itu yang juga keempat tertinggi di Eropah.

Najib kini dalam rangka lawatan kerja ke London bagi menemui pengurus dana, saintis terkemuka dan pemimpin perniagaan dalam siri mesyuarat bermula hari ini. Beliau akan berlepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak Russia-ASEAN di Sochi, sebuah bandar peranginan di Laut Hitam, Rabu ini.

Azman berkata, pembukaan pejabat di London itu melengkapkan rangkaian global Khazanah merangkumi Beijing, Mumbai, Istanbul dan San Francisco.

“Rangkaian ini bermakna kita sudah meliputi semua kawasan yang disasarkan.

“Fokus di London dan San Francisco lebih menjurus kepada aspek teknologi dan inovasi. Dalam membangunkan rangkaian, Khazanah turut mengintai peluang membawa pelaburan ke Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).

Pejabat di London itu diharap dapat memperluas pendedahan Khazanah terhadap pasaran maju Eropah, selain membolehkannya menilai peluang dalam sektor berasaskan teknologi di Eropah secara lebih berkesan.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:06am
d