mutakhir

'Kerjaya lubuk pahala' [METROTV]

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: “Kerjaya jururawat adalah lubuk pahala, tidak semua orang dipilih Allah untuk menjadi jururawat.

“Jadi, sentiasa ikhlas bekerja jika mahu pahala percuma,” kata penerima Anugerah Tokoh Jururawat Pahang Katipah Awang, 62.

Dia yang berkhidmat sebagai jururawat selama 34 tahun sebelum bersara pada 2009 berkata, keikhlasan sangat penting supaya jururawat dapat melaksanakan tugas lebih berkesan.

“Mereka perlu berkhidmat sepenuh hati tanpa mengharap sumbangan dibalas dengan penghargaan atau anugerah,” katanya selepas menerima anugerah itu sempena sambutan Hari Jururawat peringkat negeri di Auditorium Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Anugerah itu disampaikan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Pada 12 Mei lalu, wanita itu dinobatkan Tokoh Jururawat (Bahagian Perkhidmatan) sempena sambutan Hari Jururawat peringkat kebangsaan di Putrajaya.

Katipah yang pernah berkhidmat di beberapa hospital dan klinik kesihatan di negeri ini berkata, dia sentiasa mengingatkan jururawat muda supaya menghormati pesakit dan memahami latar belakang mereka.

Menurutnya, pada masa sama golongan terbabit perlu melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Ditanya pengalaman manis sepanjang bergelar jururawat, Katipah berkata, dia tidak akan melupakan kali pertama ditugaskan berkhidmat di Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak di Kuala Lipis pada 1975.

“Bayangkan, ketika itu saya masih muda dan ditugaskan ke kawasan pedalaman. Untuk ke sana, saya perlu menggunakan banyak kenderaan termasuk menaiki feri menyusuri Sungai Pahang dari Maran ke Kuala Lipis.

“Tambahan pula, ketika itu berlaku penularan wabak kolera di kawasan berkenaan, semuanya perkara baru bagi saya apabila perlu bertugas di kawasan jauh dari bandar,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Zainal Ariffin menyampaikan anugerah Jururawat Contoh kepada Asiah Long, D Sivapakiam dan Tan Guat Ee.

Selain itu, 20 lagi jururawat yang mempunyai masalah kesihatan tetapi masih berkhidmat turut menerima Anugerah Srikandi.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:15am
d