mutakhir

Sibuk bersiap daki Burj Khalifa

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Wanita kental yang bakal memulakan misi Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia pada akhir Julai ini sudah melakukan pelbagai persediaan rapi termasuk dari aspek kesihatan dan fizikal untuk melakukan pendakian pertama menara pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai.

Anak jati kelahiran Tanah Merah, Kelantan, Suwaibah Muhammad Nasir, 43, berkata, beliau lebih banyak memberi tumpuan terhadap sistem pernafasan serta kesihatan kardiovaskular memandangkan misi terbabit memerlukannya berlari di dalam keadaan tertutup berbanding pengalamannya sebelum ini yang banyak melakukan larian di tempat terbuka.

Katanya, pada masa sama, dia tidak mengabaikan latihan untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan mental bagi membolehkannya meneruskan pendakian yang dijangka berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) dalam tempoh setahun.

“Dalam banyak rekod yang pernah dicipta sebelum ini, saya banyak berlari di kawasan terbuka. Kali ini, ia agak berbeza kerana saya akan mendaki dalam keadaan bertutup dan semakin tinggi kedudukan kita di menara itu, pengudaraan semakin kurang.

“Jadi, persiapan perlu bertumpu lebih kepada sistem pernafasan, kardiovaskular, kekuatan fizikal dan mental supaya dapat menjayakan misi ini yang membawa mesej kemanusiaan. Saya juga sering melakukan pemeriksaan kesihatan dengan dibantu seorang doktor serta jurulatih peribadi. Ini adalah persiapan yang dilakukan bagi memastikan kesihatan berada pada tahap memuaskan untuk memulakan misi itu,” katanya ketika ditemui di Menara KL, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau yang juga jurucakap Yayasan Sejahtera melepaskan kira-kira 100 peserta larian amal anjuran yayasan itu yang diadakan dengan kerjasama Menara KL menerusi acara tahunannya iaitu KL Tower International Towerthon Challenge 2016 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), semalam.

KL Tower International Towerthon itu memberi peluang menguji kemampuan peserta mendaki 2,058 anak tangga pada ketinggian 228 meter dari paras laut.

Suwaibah mula dikenali selepas berjaya menamatkan larian ‘Water for Gaza’ merentas Gurun Sahara di Mesir secara solo dengan jarak 1,111 kilometer (km) selama 32 hari pada 2012, seterusnya terus mencipta nama selepas menyempurnakan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Marco Polo) dari Beijing ke Venice lebih 3,000 km pada Jun tahun lalu.

Antara menara yang ingin ditawan selain Burj Khalifa ialah The Shard, London, Empire State Building, New York, Willis Tower, Chicago, Amerika Syarikat (AS), CN Tower, Toronto, Kanada, Tokyo Tower dan Abeno Harukas, Jepun, ICC Tower, Hong Kong, Sydney Tower, Sydney dan Eureka Tower, Melbourne, Australia.

Disiarkan pada: May 16, 2016 @ 5:29am
d