mutakhir

'Saya mahu ajar mereka'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Akibat mencederakan tiga anak perempuannya dengan tangan, seorang pesara tentera dipenjara enam bulan dan didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Amiruddin Naning Abdullah, 48, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikhnya ditangkap pada 30 April 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap tiga anak perempuannya berusia 13, 16 dan 20 tahun dengan memukul menggunakan tangan di bahagian badan dan kepala sehingga mangsa cedera di bahagian badan.

Kejadian dilakukan di sebuah rumah di Taman Mawaddah Padang Raja, Melor di sini pada jam 4 petang, 30 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian ibu mangsa yang juga isteri tertuduh sedang bekerja di sebuah kedai sebelum salah seorang anaknya datang memaklumkan tertuduh memukul kakak dan adiknya.

Pengadu membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada hari yang sama.

Difahamkan sebelum ini, tertuduh sering memukul mangsa.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

“Saya buat begitu kerana mahu mengajar mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2016 @ 7:02am
d