mutakhir

Dijamin dapat kerja

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Balakong: Golongan muda yang masih mencari peluang pekerjaan disaran memohon mengikuti program latihan ‘Bootcamp Kapten Bas’ anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, program latihan selama tiga bulan itu bukan sekadar gimik, tetapi menawarkan jaminan pekerjaan tetap 100 peratus kepada peserta yang berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian memandu mengikut syarat ditetapkan.

Malah, Prasarana kini memerlukan antara 800 hingga 1,000 kapten bas untuk menjalankan khidmat secara berterusan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuantan dan Kamunting.

“Kapten bas ini bukan setakat memandu bas semata-mata, tetapi bertanggungjawab mengendali sistem operasi Bas Rapid, perisian berkaitan serta mengekalkan frekuensi perjalanan mengikut waktu ditetapkan.

“Mereka ini akan diberi pendedahan mengikut segmen termasuk induksi KBS, latihan kapten bas, latihan simulasi, bina semangat dan motivasi.

“Paling menarik, sepanjang pelaksanaan program ini, peserta diberi elaun tajaan sebanyak RM900 setiap bulan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KBS dan Prasarana di Akademi Bas Rapid, Kompleks Depoh Cheras Selatan, semalam.

MoU dicapai bagi dua tujuan utama iaitu membentuk kerjasama menggalakkan lebih ramai belia memilih kapten bas sebagai karier serta jaringan penempatan latihan industri kepada pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sektor berkaitan milik Prasarana.

KBS diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Lokman Hakim Ali, manakala Prasarana diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Azmi Abdul Aziz.

Jelas Khairy, MoU berkenaan adalah yang ke-24 dimeterai KBS melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran sejak pihaknya mulakan transformasi IKBN pada 2014.

Disiarkan pada: May 17, 2016 @ 7:10am
d