mutakhir

Lima pelajar belasah rakan sering minta wang [METROTV]

Oleh myMetro

Jempol: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Bandar Seri Jempol di sini, membelasah rakan mereka yang juga pelajar sekolah sama kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang sering meminta wang daripada seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 16 tahun dipukul berhampiran kafe siber di bandar ini, jam 4 petang, Jumaat lalu.

“Mangsa bagaimanapun tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada keluarganya sehingga ibunya menerima satu rakaman video berkaitan kejadian menerusi aplikasi WhatsApp.

“Ibu mangsa melaporkan kejadian di Balai Polis Bandar Seri Jempol, jam 9 pagi kelmarin sebelum lima pelajar berusia 13 tahun hingga 17 tahun ditahan jam 12 tengah malam itu juga bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek memukul mangsa kerana tidak puas hati dengan tindakannya yang sering meminta wang daripada rakan mereka.

Perkara itu diadukan kepada suspek sebelum mereka mencari mangsa dan membelasahnya.

“Pelajar berkenaan dibebaskan selepas direkodkan keterangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2016 @ 7:18am
d