mutakhir

Teguh prinsip inovasi

Oleh Abdul Jalil Hamid melaporkan dari London

Malaysia jangan berpaling dari berpegang dengan prinsip inovasi, kemampanan dan inklusiviti dalam usaha menjadi negara maju serta berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucaptamanya di hadapan saintis terkemuka dan penggubal dasar menggariskan beberapa strategi berasaskan prinsip berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia berjaya melangkaui ekonomi berasaskan pertanian kepada perkhidmatan dan pembuatan.

“Cabaran kami ketika ini ialah untuk langkah seterusnya iaitu pembangunan melalui inovasi, meningkatkan produktiviti selain penggunaan ilmu pengetahuan lebih efektif untuk pembangunan sosial dan ekonomi lebih besar,” kata beliau.

Najib yang dalam lawatan kerja ke ibu kota ini berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Siri Syarahan GSIAC-Khazanah anjuran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di The Shard, di sini, semalam.

Beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) yang menghimpunkan penerima anugerah Nobel, cendekiawan terkemuka, penyelidik dan pegawai utama kerajaan di situ.

Antaranya Presiden Kolej Imperial London Prof Alice Gast, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar.

Dalam ucapan beliau bertajuk Daya Saing Global - Aspirasi Malaysia, Najib berkata, strategi kerajaan sekarang dikemudi ke arah menjadikan setiap perkara lebih inovatif dan mengubah kehidupan lebih ramai rakyat Malaysia.

“Kita perlu mencari kaedah terbaik dalam pengeluaran perkhidmatan dan barangan selain mengagihkannya secara efektif pada kos rendah kepada lebih ramai rakyat,” kata beliau.

Strateginya menurut beliau, memanfaatkan kuasa transformasi sains dan teknologi selain menggalakkan keusahawanan, inovasi dan kreativiti.

“Kita mahu membangunkan kembali semua aspek sains di Malaysia supaya ia mampu menyumbang kepada penjanaan idea baharu dan perubahan permainan strategi yang mewujudkan kekayaan berpanjangan dan pekerjaan untuk rakyat kami,” katanya.

Najib berkata, penubuhan Dana Newton-Ungku Omar iaitu usaha sama kerajaan United Kingdom dan Malaysia membolehkan saintis kedua-dua negara menggalakkan inisiatif penyelidikan dan inovasi berpotensi mengubah kehidupan.

Berkaitan inklusiviti, kata beliau, Malaysia hampir menghapuskan kemiskinan tegas yang kini berbaki hanya satu peratus.

Kata beliau lagi, pendapatan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) turut mengalami kenaikan dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar purata negara sebanyak lapan peratus sejak 2009.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan gaji minimum kerajaan mengeluarkan 2.9 juta penduduk dari kelompok miskin tegar.

“Selepas ini, kami mesti mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang murah.

“Khususnya kami mesti secara serius meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran di negara kami supaya gaji dan pertumbuhan yang tinggi datangnya dari peningkatan produktiviti,” kata beliau.

Najib berkata, Malaysia perlu lebih fokus kepada pembangunan dan penyelidikan.

“Bukan hanya sekadar inovasi, kami juga perlu fokus kepada mengkomersialkan inovasi. Kami perlu fokus kepada menjadi barisan hadapan sebagai pengguna dan pencipta teknologi baru supaya kami memperoleh seterusnya mengekalkan kelebihan daya saing dalam jangka panjang,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merasmikan pejabat serantau Khazanah yang terletak di The Shard yang akan membantu pelaburan syarikat milik kerajaan itu dalam teknologi Eropah dan sektor-sektor.

Disiarkan pada: May 18, 2016 @ 8:54am
d