mutakhir

Sistem MyIMMS tak penuhi peraturan kerajaan

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dikeluarkan semalam mendedahkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama jabatan itu kurang memuaskan terutama membabitkan pengurusan pekerja asing.

Menurut laporan itu, sistem yang digunakan tidak memenuhi peraturan ditetapkan kerajaan berikutan objektif ia ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam, agensi luar dan pihak berkepentingan.

“MyIMMS merangkumi tiga komponen utama iaitu aplikasi, rangkaian dan pusat data. Ketiga-tiga komponen ini membolehkan pengguna melaksanakan proses kemasukan, pemprosesan, pengesahan, penghantaran dan penyimpanan maklumat dari pejabat imigresen ke pangkalan data dan sebaliknya.

“Ketiga-tiga komponen utama myIMMS ini dipasang di semua pejabat imigresen seluruh negara, semua pejabat Atase’ Imigresen di luar negara dan juga boleh diakses agensi luar,” kata laporan itu.

Jabatan Audit Negara memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan pelantikan HeiTech Padu Berhad secara rundingan terus bagi kontrak myIMMS bernilai RM29.9 juta yang ditandatangan pada 1 November 2010 bagi tempoh setahun.

“Pengauditan dijalankan di Ibu Pejabat JIM Putrajaya, enam pejabat cawangan JIM di Johor Bahru, Shah Alam, Kuching, Seberang Prai, Tawau dan Sandakan serta pejabat Atase’ di Jakarta, Dhaka dan Kathmandu antara April hingga November tahun lalu mendapati secara keseluruhan pengurusan myIMMS adalah kurang memuaskan dari aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

“Antara kelemahan dikenal pasti adalah pengurusan kontrak iaitu tempoh perjanjian lebih awal daripada kelulusan rundingan terus MOF dan pengeluaran surat setuju terima (SST) serta pembayaran RM22.64 juta tidak disokong dengan dokumen lengkap,” kata laporan itu.

Semakan yang dijalankan Jabatan Audit turut mendapati kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga warganegara Malaysia.

“Pada pendapat Audit, perolehan kemudahan biometrik dalam perjanjian ini adalah satu pembaziran kepada kerajaan kerana tidak diguna walaupun sudah dibayar dan dibekalkan sepenuhnya oleh kontraktor.

“Selain itu, tiga daripada tujuh sistem permohonan dan pembayaran visa dan pas yang terdapat dalam sistem eServices tidak diguna pakai serta data myIMMS kurang tepat dan integriti data diragui,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2016 @ 7:28am
d