mutakhir

Setuju DBKL batal lesen

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Rata-rata persatuan pemborong, peniaga, kedai kopi dan restoran di negara ini menyokong dan bersetuju dengan tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen perniagaan serta menyenarai hitam peniaga yang didapati terbabit dengan mengedar, menyimpan dan menjual rokok seludup.

Malah, mereka sepakat mencadangkan supaya tindakan sama dilaksanakan pihak berkuasa tempatan seluruh negara bagi memastikan penjualan rokok seludup dapat dilumpuhkan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Noorul Hassan berkata, sesiapa sahaja yang melakukan kerja haram dan melanggar undang-undang patut menanggung akibatnya.

“PRESMA mempunyai 3,500 ahli di seluruh negara, jika didapati terbabit dengan urusniaga rokok seludup bukan saja mereka mendapat hukuman pihak berkuasa malah keahlian persatuan juga boleh dilucutkan,” katanya.

Bagi Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng pula, pihaknya menyokong tindakan tegas DBKL terhadap peniaga yang menjual rokok seludup.

Menurutnya, amaran keras untuk membatalkan lesen, nama disenarai hitam serta tidak boleh lagi menjalankan sebarang perniagaan kepada pelaku terbabit rokok seludup adalah bertepatan serta seharusnya dicontohi PBT lain.

“Ketegasan seumpama ini perlu dilaksanakan seluruh negara supaya lebih berkesan dan melumpuhkan terus industri rokok seludup di negara ini.

“Masyarakat juga perlu berganding bahu dengan kerajaan dengan menyalurkan maklumat mana-mana kedai yang menjual rokok seludup supaya dapat dikenakan tindakan segera.

“Ini sekali gus mewujudkan suasana perniagaan lebih bersih daripada anasir perniagaan ‘underground’ yang jelas merugikan masyarakat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Presiden Persatuan Persekutuan Kedai Kopi dan Teh Kuala Lumpur/Selangor Hang Chin Peng pula berkata, persatuannya sangat tegas dan memberi amaran supaya ahlinya tidak terbabit dalam penjualan rokok seludup.

“Tiada sebarang kompromi kepada mana-mana ahli yang terbabit dalam penjualan rokok seludup. Kami komited dengan berpendirian enggan menjual rokok seludup atau pun tiruan,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2016 @ 8:27am
d