mutakhir

Tumpu kerjasama ekonomi

Oleh Mustapa Omar

Pelbagai isu mengenai kaedah untuk mengerat dan meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Russia dijangka menjadi tumpuan dalam Mesyuarat Dua Hala antara Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Vladimir Putin, di sini, hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Hayati Ismail berkata, pertemuan itu penting dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama selepas kedua-dua pihak menubuhkan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan, tahun lalu.

Selain itu, ia juga bermakna kerana kedua-dua negara yang akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Putrajaya-Moscow April tahun depan.

“Nilai dagangan Malaysia-Russia mencatatkan AS$1.35 bilion (RM5.46 bilion) tahun lalu, merosot 51 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, selain kejatuhan harga minyak dan nilai mata wang.

“Sebahagian besar eksport Malaysia terdiri daripada barangan elektrik, pakaian dan barang makanan, manakala kita pula mengimport minyak mentah dari Russia,” katanya kepada wartawan, di sini, semalam.

Jurucakap Putin dalam satu kenyataan kelmarin berkata, antara perkara akan dibincangkan kedua-dua pemimpin termasuk pelaksanaan beberapa projek pelaburan dalam sektor tenaga dan kerjasama teknikal ketenteraan serta program kemanusiaan.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di sini petang semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia selama dua hari bermula hari ini. Turut mengiringi beliau, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Hayati berkata, selain pertemuan dengan Putin, Najib juga dijadual mengadakan Mesyuarat Dua Hala dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc pada Jumaat, kali pertama sejak Nguyen dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan lalu.

Mengenai sidang kemuncak, beliau berkata, pemimpin Asean dan Russia akan memperakukan Deklarasi Sochi bertajuk Ke Arah Perkongsian Strategik Untuk Kepentingan Bersama dan mengambil maklum Pelan Tindakan Komprehensif (2016-2020).

“Dijangka sidang kemuncak ini mengeratkan hubungan rakyat ke rakyat, khususnya dalam kalangan ahli perniagaan. Ini kerana sidang itu turut membincangkan isu berkaitan kerjasama ekonomi.

“Selain itu, ia juga diharap mengeratkan lagi kerjasama kebudayaan Asean-Russia kerana Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan turut diadakan sempena sidang kemuncak kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2016 @ 8:32am
d