mutakhir

Anak buaya tembaga sesat masuk sangkar ikan

Oleh myMetro

Kuala Terenggganu: Seekor anak buaya tembaga ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas reptilia itu terperangkap di jaring sangkar ikan penduduk di Kampung Beladau Selat, Serada, semalam.

Anak buaya seberat 13 kilogram itu dikatakan disedari terperangkap pada jaring sangkar ikan itu jam 7 pagi ketika pemiliknya ingin memberi makanan kepada ikan peliharaannya.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung jam 2 petang sebelum ke lokasi berkenaan dan menangkap buaya berkenaan.

“Anak buaya itu dipercayai sudah sebulan bermain di kawasan sangkar itu dipercayai ingin memakan ikan dipelihara penternak terbabit yang akhirnya ia terperangkap pada jaring sangkar berkenaan.

“Reptilia itu dilaporkan tidak mengancam keselamatan penduduk dan hanya ingin memakan ikan dipelihara di situ,” katanya ketika ditemui ketika proses pemindahan anak buaya itu ke tempat pelepasannya di sungai dalam kawasan Taman Negara, di sini, semalam.

Mohd Hasdi berkata, sungai berkenaan memang dihuni buaya, tetapi sehingga kini ia tidak mengancam keselamatan penduduk malah reptilia itu sentiasa menjauhi kawasan penempatan penduduk.

“Berkemungkinan anak buaya itu tersesat dan mencari makanan di kawasan sangkar terbabit kerana melihat banyak ikan di situ.

“Kami akan memindahkan anak buaya itu ke kawasan lebih selamat dan jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2016 @ 9:21am
d