mutakhir

Setia kendong anak

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Mereka ibarat belangkas kerana ke mana saja si ibu bergerak, si anak yang menghidap Cerebral Palsy atau lumpuh otak berusia 15 tahun itu turut dibawa dan dikendong sendiri.

Menurut Zulhasnimar Hasan Basri, 48, Hospital Selayang sudah menjadi rumah kedua mereka selepas anak keduanya, Khairina Puteri Sariman perlu menjalani pelbagai rawatan dan perhatian pakar di hospital berkenaan sejak dilahirkan.

“Memang kos rawatan di hospital percuma kerana memiliki kad orang kurang upaya (OKU) namun kos lain termasuk susu dan makanan tambahan untuk dia perlu ditanggung sendiri.

“Setakat ini, saya hanya mendapat sumbangan Baitulmal sebanyak RM500 sebulan, itu pun cukup-cukup untuk perbelanjaan dia, sebab itu kami perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Kamilia Puteri Sariman, 16, yang bersekolah di tingkatan empat.

Menurut ibu tunggal itu, dia terpaksa berhenti kerja sejak 10 tahun lalu bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak keduanya itu yang memerlukan pengawasan dan pengurusan 24 jam.

“Alhamdulillah sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami bertiga dan dapat digunakan untuk perbelanjaan persediaan menyambut Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Zulhasnimar seorang daripada 60 golongan asnaf dan fakir miskin yang menerima sumbangan zakat daripada Exim Bank yang berjumlah RM44,800 di Masjid Al Syakirin Gombak, semalam.

Sumbangan itu disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Norzilah Mohammed dan Ketua Jabatan Pengurusan Syariah, Exim Bank, Zulkipli Md Yunos.

Menurut Norzilah, tahun ini mereka memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta bagi agihan zakat ke seluruh negara termasuk pembinaan empat rumah kepada golongan asnaf dan fakir miskin di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak.

Katanya, setakat ini sebanyak RM273,000 sudah diagihkan kepada 300 golongan berkenaan di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 21, 2016 @ 5:07am
d