mutakhir

Cabaran penulisan

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Cabaran utama dunia kewartawanan masa kini ialah pendigitalan dan kewibawaan penulisan,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dunia digital ketika ini memberikan cabaran kuat kepada media konvensional dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak yang sebahagian besarnya generasi Y dan Z.

Kata beliau, ukuran kewibawaan pula pada zaman sekarang turut berubah dengan pemikiran yang berlawanan lebih memiliki kredibiliti berbanding media tradisional walaupun mempunyai wibawa sebenar.

“Inilah dua cabaran yang mesti dihadapi, tetapi saya yakin wartawan dapat menghadapi gelombang baru ini.

“Wartawan mesti berada di garisan hadapan untuk menghadapi situasi itu,” katanya dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2016, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pengarang Meja Siasatan Khas New Straits Times (NST), Farrah Naz Abd Karim dan wartawan NST Aliza Shah Muhammad Shah diumumkan pemenang Hadiah Kajai 2015 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil.

Sementara itu, Harian Metro (HM) Kelantan memenangi tiga anugerah di Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan 2015 yang diadakan malam tadi.

Dua anugerah bagi kategori Berita Am Terbaik yang dimenangi wartawan Siti Nor Hidayatidayu Razali - tempat kedua untuk artikel Abang Tiri Jadi Suami manakala Ketua Biro HM Kelantan Maiamalina Mohamed Amin - tempat ketiga menerusi artikel Kami Larang Masuk Hutan.

Sementara itu, wartawan Muhamaad Razis Ismail memenangi tempat ketiga kategori Berita Sukan Terbaik menerusi artikel Kantung KAFA selamat.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM600 (tempat kedua) dan RM400 (tempat ketiga), plak dan sijil penghargaan.

Kumpulan The New Straits Times (NSTP) turut unggul menerusi New Straits Times (NST) yang memenangi Anugerah Rencana Terbaik (tempat pertama) dan Anugerah Alam Sekitar Terbaik (Tempat Kedua).

Berita Harian memenangi Anugerah Rencana Terbaik (tempat ketiga) dan Anugerah Pelancongan Terbaik (tempat ketiga), sementara jurugambar sambilan Nik Abdullah Nik Omar memenangi tempat kedua Foto Terbaik.

Disiarkan pada: May 21, 2016 @ 5:09am
d