mutakhir

Integrasi ekonomi

Oleh Mustapa Omar di Sochi

ASEAN bersetuju untuk mengambil langkah ke hadapan bagi memulakan proses rundingan untuk memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan lima negara Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah selaras dengan usaha mewujudkan satu lagi integrasi ekonomi serantau atas dasar dua hala yang dipersetujui negara anggota ASEAN dan Russia.

“Dengan saiz keseluruhan ekonomi EAEU dan ASEAN yang bernilai AS$3.5 trilion (RM14.28 trilion) dan jumlah penduduknya 766 juta, sudah tentu potensi untuk meningkatkan peluang perdagangan amat besar.

“Selain itu, kita juga telah maklumkan jika usaha bersama ASEAN ini memakan masa, maka Malaysia berhasrat untuk mengadakan sendiri kerjasama dua hala FTA dengan EAEU,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Russia selama dua hari, bermula kelmarin. Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Duta Malaysia ke Russia, Datuk Hayati Ismail dan pegawai kanan Kementerian Luar.

Perdana Menteri berkata, dalam sidang pleno sempena persidangan bekenaan, Asean dan Russia menerima dua dokumen iaitu Deklarasi Sochi dan Pelan Tindakan Komprehensif (2016-2020) yang mengarah kepada peningkatan kerjasama antara ASEAN dan Russia.

“Kerjasama di antara kedua-dua pihak ini akan meliputi bidang politik dan keselamatan, sosial dan budaya serta langkah mengurangkan jurang pembangunan selain meningkatkan aktiviti di sektor pelancongan,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Najib berkata persidangan mahu semua pihak mematuhi Deklarasi Perilaku Pihak dan menggesa Kod Tata Laku (COC) dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya, persidangan juga melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik dan menggesa negara itu kembali kepada perbincangan enam mengenai perkara berkenaan.

Katanya, persidangan itu juga sepakat dalam usaha memerangi keganasan melampau dan kegiatan pemerdagangan manusia, selain menerima prinsip kesederhanaan dalam menghadapi ekstremisme.

Disiarkan pada: May 21, 2016 @ 5:11am
d