mutakhir

Aku dan basikal tuaku

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Kira-kira setengah abad lalu, Arbian Bachik, 64, hanya berbasikal untuk ke mana-mana.

Bekas pemain bola sepak seangkatan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan beberapa bintang lagi itu tidak pernah menggunakan kenderaan lain melainkan berbasikal sehingga hari ini.

Sekitar 1950-an, Arbian menjalani kehidupan sehariannya dengan berbasikal biarpun di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Malah, sewaktu berjinak-jinak dengan beberapa kelab bola sepak di Kuala Lumpur dia hanya menunggang basikal untuk menjalani latihan atau perlawanan berbanding rakan lain menggunakan motosikal atau kereta.

“Saya hanya menunggang basikal setiap kali sesi latihan atau perlawanan di sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun ahli lain datang menggunakan kereta atau motosikal, mereka tidak sesekali memandang rendah, malahan memuji tindakan saya kerana mampu mengekalkan stamina,” katanya.

Katanya, dia bukan tidak berhajat memiliki sebuah motosikal, tetapi ketika zaman remaja dahulu, dia tidak mampu membelinya kerana terlalu mahal.

“Sebab itu saya tidak terlintas belajar menunggang motosikal, malah tidak terfikir langsung memiliki lesen memandu kerana sudah pasti saya tidak mampu membeli kenderaan.

“Bagaimanapun, ketika usia dewasa dan mempunyai pekerjaan, timbul pula rasa malu untuk belajar. Kesudahannya, sehingga sekarang saya tidak pandai menunggang motosikal apatah lagi memiliki lesen memandu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gombang, Batu Kikir.

Jelas Arbian, segala pergerakannya dari zaman remaja hingga hari ini hanya menggunakan basikal tua milik arwah bapanya.

“Arwah ayah pernah memberitahu saya, basikal jenama Raeligh buatan England tahun 50-an ini dibeli pada harga RM150. Ketika itu, arwah bekerja sebagai kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan basikal ini dibeli dengan menggunakan pinjaman kerajaan.

“Bayaran pendahuluan RM30 dan bulanan RM3. Ketika di tingkatan satu pada 1962, saya mula menggunakan basikal ini untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Ketika itu saya menetap di Seberang Prai dan jarak antara rumah ke sekolah adalah 12 Kilometer (km).

“Namun, pada 1963, saya menamatkan persekolahan tingkatan dua kerana mengikut ayah berpindah di Bangsar, Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, saya berkerja di sebuah kilang getah di Brickfields dan berulang-alik dari rumah menggunakan basikal ini,” katanya.

“Pada usia 20-an, saya menyertai beberapa kelab bola sepak di Kuala Lumpur. Saya pernah bermain bersama-sama satu pasukan dengan Allahyarham (Mokhtar), R Arumugam dan Santokh Singh,” katanya.

Menurut Arbian, pada 1981, dia diterima bertugas dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran di Bukit Aman sehingga 1984, sebelum berpindah ke Sekolah Vokasional Juasseh, Kuala Pilah.

Disiarkan pada: May 21, 2016 @ 5:13am
d