mutakhir

'Saya tak salah'

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: “Bagilah saya duduk sekejap, saya tak salah, majikan saya yang salah,” rayu seorang wanita warganegara Filipina apabila diarahkan keluar dari kediamannya selepas melanggar peraturan menghuni rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Raya Permai, Sungai Besi, malam kelmarin.

Dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu wanita berkenaan adalah seorang daripada enam warganegara asing dikenal pasti menghuni dua unit rumah PPR di situ.

Wanita berusia 40 tahun itu mendakwa menghuni unit rumah itu lebih tiga tahun bersama tiga lagi rakannya yang diberi sewa oleh pemilik rumah kepada majikan mereka.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, berdasarkan maklumat penduduk dan bancian susulan, pihaknya mengenal pasti terdapat empat warga Filipina dan dua warga Thailand menghuni di PPR Raya Permai.

“Dalam operasi siri keenam ini, 32 notis penghuni tidak sah dikeluarkan dan dua unit rumah daripadanya dirampas kerana dipercayai dihuni warga asing.

“Bagaimanapun seorang saja ditemui berada di rumah dan kami mengarahkannya untuk keluar dari rumah serta-merta,” katanya dalam sidang media selepas operasi berakhir.

Katanya, unit rumah yang dirampas dikunci semula dan pemilik rumah saja boleh memohon untuk membuka kunci bagi mengambil barang dalam rumah berkenaan.

Dalam operasi selama tiga jam itu, 410 unit rumah diperiksa dan 32 notis dikeluarkan atas kesalahan penghuni tidak sah manakala lima kompaun dikenakan atas kesalahan memelihara haiwan (3), mengubah struktur (1) dan menghalang laluan (1).

Muzammer berkata, mereka yang didapati melanggar syarat perjanjian penyewaan mengikut Undang-undang Kecil Perumahan Awam Wilayah Persekutuan 2000 diberi notis amaran 14 hari untuk mengemukakan rayuan atau mengosongkan unit.

“Sekiranya mereka gagal laksanakan selepas tempoh itu, tindakan merampas kediaman akan dilakukan selain mengunci bekalan air.

“Manakala untuk kesalahan lain, 17 unit rumah yang didapati kosong diberi masa 30 hari untuk pemilik rumah mengemukakan sebab tidak menetap,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2016 @ 5:25am
d