mutakhir

Kesan kanser dalam talian

Oleh Asrizal Aris

Petaling Jaya: Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) melancarkan Kaedah Penilaian Kesihatan Penghadaman Dalam Talian yang pertama di negara ini selepas mendapati 3,000 penghidap penyakit kanser kolon dicatatkan dalam setahun.

Kaedah dalam talian yang dinilai melalui beberapa siri soalan di laman web DHM itu bukan bertujuan menggantikan perundingan bersama pakar kesihatan, tetapi memberi kesedaran awal kepada orang ramai yang leka dan malu mendapatkan pemeriksaan.

Timbalan Pengerusi DHM Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali berkata, rakyat negara ini tidak menjalani saringan kesihatan secara kerap dan tidak sedar ancaman berkaitan kanser kolon atau usus.

“Pendekatan dalam talian ini sebagai langkah memberi kesedaran kepada orang ramai kerana negara kita berada di tahap membimbangkan iaitu 90 peratus daripada jumlah pesakit setiap tahun di tahap serius.

“Hal ini menyebabkan jangka hayat pesakit berkurangan dan membabitkan kos rawatan mahal.

“Oleh itu, ia penting untuk orang ramai tahu tahap kesihatan mereka melalui penilaian dalam talian,” katanya selepas pelancaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia, di Sunway Piramid, di sini, semalam.

Menurutnya, kaedah penilaian dalam talian memberi keputusan sistem pencernaan dan penghadaman orang ramai selepas menjawab 10 soalan berkaitan simptom dialami.

Mereka yang mempunyai tanda awal dinasihatkan mendapatkan rawatan doktor.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pendekatan dilaksanakan DHM wajar diberi pujian sebagai usaha memberi pengetahuan tinggi mengenai kesihatan masyarakat.

“Pada 2014, KKM merekodkan penyakit sistem penghadaman sebagai penyebab ketujuh kemasukan ke hospital kerajaan dan mencatatkan senarai keenam penyebab kematian di hospital.

“Hal ini berikutan kurangnya kesedaran pesakit dan cenderung menunggu saat akhir untuk mendapatkan rawatan,” katanya selepas merasmikan pelancaran itu.

Turut hadir dalam majlis tajaan Vitagen, Pengurus Pemasaran Vitagen Yap Jay Queen dan Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia Dr Tee E Siong.

Disiarkan pada: May 22, 2016 @ 5:13am
d