mutakhir

Veteran tentera puas jasad, keluarga disatu

Oleh Salman Hamat

Melaka: Cogan kata ‘leave no man behind’ (tiada siapa akan ditinggalkan) mendorong veteran tentera Australia, Brian Manns melakukan usaha mengenal pasti serta menguruskan proses membawa pulang jasad anggota tentera negaranya yang terkorban ketika bertugas di luar negara.

Dia bersama beberapa pakar dari negara terbabit kini sedang giat melakukan proses mengenal pasti jasad 24 anggota tentera dan lapan ahli keluarga mereka yang dikebumikan di tanah Perkuburan Peperangan Komanwel (CWG) Kem Terendak, di sini, menerusi Operasi Reunites.

Menurutnya, dia mula berkampung di CWG Kem Terendak sejak awal bulan ini bagi memastikan proses mengenal pasti dan membawa pulang semua 32 jasad terbabit berjalan lancar.

Pengurus Mangsa Perang Tidak Ditemui Jabatan Pertahanan Tentera Darat Australia itu berkata, operasi dijayakan dengan kerjasama kerajaan Malaysia itu dianggap amat penting.

“Ia bukan saja memberi makna kepada kerajaan Australia, malah keluarga kepada anggota tentera terbabit, apabila mereka akhirnya disatukan semula selepas sekian lama terpisah.

“Sejak 10 tahun lalu, saya sudah ke beberapa negara bagi melakukan proses mengenal pasti dan membawa pulang jasad anggota tentera Australia yang terkorban ketika bertempur,” katanya ketika ditemui semalam.

Brian berkata, walaupun sudah bergelar veteran, dia berasa puas kerana masih mempunyai kudrat untuk membantu anggota tentera yang terkorban dengan membawa pulang jasad mereka.

“Sebelum ini saya pernah menghadiri majlis pengebumian jasad anggota tentera yang dibawa pulang ke pangkuan keluarganya. Dalam perbualan singkat seorang ahli keluarga mendiang mengatakan dia berasa amat terharu dengan usaha kami semua.

“Apa tidaknya dia langsung tidak menyangka dapat menghadiri majlis pengebumian ahli keluarganya itu selepas 50 tahun meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia berasa amat kagum dengan kerjasama diberikan kerajaan Malaysia dan menganggapnya sebagai satu bentuk bantuan terbaik pernah diterimanya sejak terbabit secara aktif dalam usaha itu.

Disiarkan pada: May 22, 2016 @ 5:31am
d