mutakhir

Terharu Third Force bela nasib

Kota Bharu: Seorang ibu tunggal yang mencari rezeki dengan mengutip bahan terbuang untuk menyara lima anaknya yang masih bersekolah, kini boleh menarik nafas lega apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force, tampil membantu untuk meringankan bebannya.

Zinorlaily Mat Ail, 40, berkata, dia terharu apabila menerima kunjungan sukarelawan Third Force yang prihatin dengan nasib menimpa keluarganya.

“Tiada kata yang dapat dizahirkan, melainkan rasa syukur kerana mereka sanggup datang ke rumah menjenguk dan melihat keperluan kami sekeluarga.

“Ini bantuan pertama diterima selepas Harian Metro menyiarkan mengenai kesusahan saya dan anak yang sanggup menyelongkar tong sampah bagi mencari bahan terbuang demi untuk sesuap nasi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Zinorlaily sanggup menyelongkar tong sampah untuk mencari barang terbuang bagi menyara enam anaknya yang berusia antara tujuh dan 19 tahun.

Sementara itu, salah seorang wakil Third Force, Muhamad Ali Mohamed berkata, kunjungannya ke kediaman Zinorlaily itu untuk melihat keperluan diperlukan keluarga berkenaan.

“Kami akan bantu semampu yang boleh bagi meringankan beban dipikulnya.

“Terlebih dulu, saya akan berbincang dengan pengasas Third Force, Raja Shamri Raja Husin serta beberapa lagi ahli sukarelawan Third Force yang lain untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2016 @ 7:16am
d