mutakhir

Letupan 3.20 pagi

Oleh Siraj Mohd Zaini

Klang: Penduduk berhampiran Jalan Rebana, Taman Klang Jaya, di sini, dikejutkan dengan bunyi beberapa letupan sebuah bengkel yang turut memusnahkan 10 kenderaan di dalamnya.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi semalam, api marak membakar premis terletak kira-kira 100 meter daripada beberapa taman perumahan berhampiran.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Affendi, 37, berkata, dia terdengar bunyi letupan sebelum bergegas ke luar rumah.

“Saya sedang tidur bersama isteri dan anak-anak sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan yang menggegarkan rumah. Apabila saya melihat menerusi tingkap rumah, ada beberapa jiran lain sudah keluar melihat kebakaran itu.

“Beberapa minit kemudian, jentera bomba tiba bagi memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini. semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.30 pagi dan sepasukan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kebakaran.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir dua jam bagi memadamkan kebakaran itu secara keseluruhannya.

“Sebanyak 10 kereta serta sebuah jentera pengangkat gagal diselamatkan dan musnah dalam kebakaran terbabit.

“Bangunan premis kelas A itu juga musnah 100 peratus dan api berjaya dipadamkan jam 5.15 pagi,” katanya kepada Harian Metro.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan anggota forensik bomba yang turut tiba di lokasi sejurus api berjaya dipadamkan.

Disiarkan pada: May 23, 2016 @ 7:23am
d