mutakhir

Najib berselera sarapan nasi dagang

Kuala Terengganu: “Mana nasi dagang,” itu soalan spontan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika singgah bersarapan di gerai makanan di Kedai Pasar Payang, semalam.

Soalan itu diajukan kepada pemilik kedai apabila beliau tersilap membuka bungkusan nasi lemak yang disangka nasi dagang.

Bagaimanapun, hajat Perdana Menteri tertunai apabila pemilik kedai segera menghidangkan sebungkus nasi dagang.

“The best nasi dagang in the world (nasi dagang paling sedap di dunia),” kata Najib berseloroh selepas menikmati makanan tradisional Terengganu itu.

Gelagat Perdana Menteri yang tidak kekok makan di gerai biasa dan sifat ramahnya melayan masyarakat ternyata menambat hati mereka.

Rata-rata yang hadir tersenyum melihat Perdana Menteri dari dekat selain ramai tidak melepaskan peluang merakamkan gambar menggunakan telefon pintar masing-masing.

Sambil menikmati hidangan nasi dagang, Perdana Menteri sempat mendengar taklimat projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang baru oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Rosli Yusof.

Bercakap kepada media selepas itu, beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM78 juta untuk pembinaan Pasar Besar Kedai Payang baru.

“Projek itu dilaksanakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dijangka siap menjelang 2018.

“Ia bagi menggantikan pasar sedia ada dan apabila siap nanti, akan memberi keselesaan kepada peniaga serta pengunjung. Saya juga yakin ia akan melonjakkan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Najib yang disambut Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, tiba jam 9.30 pagi dan sempat meluangkan masa sejam meninjau keadaan pasar selain bertemu serta beramah mesra dengan peniaga serta orang ramai.

Disiarkan pada: May 24, 2016 @ 6:14am
d