mutakhir

Tanam semangat cinta negara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sejarah Melayu hanya dianggap sebagai kenangan saja. Itu antara tanggapan golongan belia yang memandang sejarah ketamadunan Melayu dulu tidak lebih kepada perkara yang sudah berlalu saja dan bukannya sumber rujukan.

Mereka tidak mahu menjadikan sejarah Melayu sebagai sumber rujukan yang boleh digunakan dalam mengukuhkan semangat jati diri, malah sanggup berkiblatkan budaya Barat atau negara lain untuk membentuk sahsiah diri.

Penulis dan Pejuang Hikayat Ninot Aziz berkata, masyarakat kini terutama golongan belia perlu menjadikan sejarah ketamadunan Melayu terdahulu sebagai panduan menerusi pelbagai kejayaan gemilang yang pernah dikecapi hingga dikenali di seluruh dunia.

Beliau berkata, golongan belia perlu banyak membaca dan mengkaji sejarah Melayu supaya boleh mengambil intipati berguna untuk membina sahsiah diri.

“Persatuan Patriot Malaysia (PATRIOT) antara platform yang berusaha menanam semangat cintakan negara menerusi fakta sejarah terdahulu dan boleh diambil untuk dijadikan sebagai garis panduan.

“Fakta yang dibentangkan PATRIOT dilakukan berdasarkan analisis, perbincangan dan perdebatan antara pakar sejarah dan ahli akademik supaya segala berkaitan sejarah mempunyai bukti kukuh,” katanya.

Menariknya, PATRIOT bukanlah persatuan untuk Melayu semata-mata kerana perbincangan dan perdebatan juga disertai kaum lain supaya segala persoalan dapat dirungkai bersama.

“Saya sering menyertai aktiviti yang dianjurkan PATRIOT kerana mereka tidak sembang kosong dalam mengemukakan fakta sejarah terutama berkaitan tokoh pahlawan terdahulu dan ketamadunan.

“Jika kita mengikuti setiap perbincangan yang dilakukan persatuan itu pasti ada antara fakta mengenai kehebatan tamadun Melayu dahulu terungkai,” katanya.

Katanya, antara fakta sejarah yang menarik minatnya adalah masyarakat Melayu perintis kepada ilmu laut apabila berani berlayar hingga ke benua lain tanpa sebarang masalah.

Disiarkan pada: May 24, 2016 @ 6:16am
d