mutakhir

'Terima kasih HM'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Petaling Jaya: “Alhamdulillah, pembedahan Nurhidayah berjalan lancar dan anak kami kini sudah boleh menyusu dengan normal seperti bayi lain.

“Terima kasih kepada Harian Metro kerana membuat liputan meluas mengenai penderitaan Nurhidayah hingga membolehkannya menjalani pembedahan dengan segera,” kata Nurbustaniah Hussin, 21.

Anak keduanya, Nurhidayah Fatihah Mohamad Sejawi, enam bulan, yang mengalami masalah sumbing bibir dan lelangit sejak lahir menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, pada 16 Mei lalu.

Pembedahan yang mengambil masa selama lapan jam itu diketuai Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) Profesor Datuk Dr Zainal Ariff Abdul Rahman dan turut disertai Ketua Jabatan Sains Klinikal Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Dr Siti Mazlipah Ismail.

Menurut Nurbustaniah, penderitaan anaknya mula mendapat tumpuan ramai selepas disiarkan di akhbar ini 23 April lalu dan sejak itu, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi membolehkan Nurhidayah menjalani pembedahan segera.

Katanya, sebelum ini, setiap malam dia dan suami sukar melelapkan mata kerana memikirkan bagaimana cara untuk mengumpul wang rawatan termasuk kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM30,000.

“Ini kerana suami hanyalah seorang buruh, dia memperoleh gaji mengikut hari bekerja saja dan sukar untuk kami mengumpul wang yang diperlukan.

“Mujurlah dengan bantuan Harian Metro, ramai yang tampil membantu hingga Nurhidayah dapat menjalani pembedahan secepat ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di PPUM, semalam.

Hadir sama, Ahli Majlis Penasihat Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Abdul Malik Abdullah dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zubir Mohd Juzad.

Dalam pada itu, Dr Siti Mazlipah berkata, pembedahan berkenaan bukanlah mudah kerana masalah sumbing bibir dan lelangit hingga menjejaskan muka seperti dialami Nurhidayah adalah kes yang jarang berlaku di negara ini.

Namun, dengan kepakaran pasukan doktor terbabit, pembedahan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan Nurhidayah juga sudah dibenarkan keluar wad, semalam.

“Selepas ini, adik Nurhidayah masih perlu menjalani banyak rawatan susulan termasuk pembedahan membaiki rekahan lelangit dan saluran air mata.

“Namun, semua pembedahan itu perlu dilakukan secara berperingkat kerana perlu mengambil kira tahap kesihatan dan keadaan adik Nurhidayah terlebih dulu.

“Kita harap dengan pembedahan dan rawatan terbaik yang diberikan kepada adik Nurhidayah dapat memberi sinar baru bagi membolehkannya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, POKB yang sudah mengambil adik Nurhidayah sebagai anak angkat akan terus membantu bayi istimewa itu secara konsisten selepas ini.

Kata beliau, pihaknya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit bukan membantu untuk pembedahan ini saja sebaliknya akan terus menghulurkan bantuan secara konsisten.

Disiarkan pada: May 24, 2016 @ 6:51am
d