mutakhir

Tambah baik Kejara

Oleh Ibrahim Isa

Tangkak: Kerajaan dalam proses menambah baik sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) termasuk mengenakan tindakan itu kepada pemandu dan penunggang yang menggunakan telefon bimbit di atas jalan raya.

Selain itu, perubahan baru yang berkuatkuasa tahun ini termasuk mengumpul mata kesalahan sebelum lesen seseorang itu digantung.

Malah, Kejara akan digabung dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi membolehkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dilaksanakan semula.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, pengenalan semula Kejara bertujuan mengurangkan kemalangan maut akibat kecuaian pemandu atau penunggang motosikal.

Berikutan itu katanya, beberapa pindaan terpaksa dilakukan supaya ia selari dengan perkembangan semasa.

“Antara kesalahan berat yang akan dimasukkan ke dalam sistem Kejara ialah penggunaan telefon bimbit oleh pemandu dan penunggang motosikal di atas jalan raya.

“Ia (penggunaan telefon bimbit) perlu dimasuk kerana membahayakan keselamatan pengguna jalan lain.

“Malah, ketika ini kita boleh melihat pemandu dan penunggang dengan bersahaja menggunakan telefon bimbit sekaligus mengganggu tumpuan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Bersama Kolej Komuniti Ledang, di sini, semalam.

Abd Ghafar berkata, Kejara akan mengumpul semua mata demerit sehingga lesen seseorang itu digantung berikutan kedegilan pengguna yang boleh membayar saman.

“Kami dapati, ada pemandu tidak kisah disaman kerana mereka mampu membayarnya. Malangnya, mereka tidak serik dan akan mengulangi kesalahan itu sedangkan ia membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Berikutan itu, pengenalan semula Kejara bukan saja bertujuan menghukum pesalah trafik, malah diharapkan memberi kesedaran kepada pemandu supaya lebih berhemah dan tidak mengulangi kesalahan mereka,” katanya.

Menurutnya, JKJR berharap langkah itu akan dapat pengurangan kadar kemalangan dan kematian terutama penunggang motosikal.

Katanya, sistem baru itu tidak akan mengurangkan mata demerit pemandu walaupun mereka menjelaskan bayaran saman.

Disiarkan pada: May 25, 2016 @ 8:21am
d