mutakhir

Tambah tenaga mahir

Oleh Siti Fatimah Hassan

Petaling Jaya: Usaha ASEAN dalam memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau ini wajar dipuji dan sesuai dengan peredaran masa, khususnya bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang berkenaan.

Ketua Eksekutif Suruhanjaya Pendidikan Tinggi New Zealand, Tim Fowler berkata, pihaknya amat menyokong inisiatif itu memandangkan ia sangat kritikal terhadap pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, termasuk Asia Tenggara.

Katanya, selain mengetengahkan TVET, satu rangka kerja berhubung jaminan kualiti antara negara terbabit juga perlu diwujudkan bagi memudahkan proses membekalkan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

“Kami menyokong inisiatif ASEAN dan kerjasama pendidikan dijalinkan antara negara anggota. Bagi saya, antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat yang menarik ialah berhubung TVET dan bagaimana mewujudkan satu rangka kerja antara negara.

“Ini sangat penting kerana ia lebih memudahkan proses menyalurkan tenaga mahir ke dalam sektor pekerjaan di antara negara khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-3 (EAS EMM) sempena Mesyuarat Peringkat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN (ASED) dan Pegawai Kanan Tertinggi Pendidikan ASEAN (SOM-ED) 2016, di sini, semalam.

SOM-ED yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berakhir semalam, selepas tiga kelompok mesyuarat diadakan di peringkat Pegawai Kanan Tertinggi.

Mesyuarat itu diikuti perasmian pembukaan ASED ke-9 oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Malaysia sekali lagi dilantik menjadi Pengerusi Pendidikan ASEAN bagi tempoh dua tahun bermula 2016-2017 dan kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2008.

Selain itu, Fowler berkata, beliau juga melihat ada pertumbuhan besar dalam industri teknikal dan vokasional di New Zealand dan pihaknya berusaha memenuhi permintaan bidang itu.

“Di sana, kami sebenarnya berdepan kesukaran memenuhi permintaan tenaga mahir disebabkan pertumbuhan besar dalam industriteknikal dan vokasional sendiri.

“Sebab itu, potensi yang ada amat besar dan apa yang ASEAN lakukan ini amat tepat sekali,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2016 @ 8:22am
d