mutakhir

Buang anak gila judi

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Tiada lagi maaf bagimu. Itulah luahan hati seorang ibu malang yang nekad ‘membuang’ anak lelakinya selepas tidak tahan dengan sikap gila anaknya itu yang gemar bertaruh judi bola.

Anak mangsa yang turut gemar berhutang dengan ceti haram (along) menyebabkan wanita itu jatuh muflis apabila melunaskan hutang melebih RM200,000.

Mangsa, Ang Bee Eng, 59, berkata, dia memutuskan hubungan kekeluargaan berikutan memberi cukup masa kepada anaknya untuk berubah dan insaf.

Menurutnya, anaknya menghidap penyakit ketagihan berjudi atas talian setiap kali perlawanan bola sepak.

“Dia sebelum ini bekerja sebagai seorang perunding hartanah dan gemar bertaruh judi atas talian.

“Ini kali keempat dia meminjam wang daripada along dan saya membayar RM200,000 sejak tahun 2014,” katanya.

Menurutnya, pada 11 Mei lalu, rumahnya disimbah cat merah samseng along sebelum mereka sekeluarga berpindah atas faktor keselamatan.

“Saya tambah terkejut apabila semua barangan berharga di dalam rumah itu lesap apabila saya pulang semula kediaman itu pada 16 Mei lalu.

“Mulanya saya sangkakan along yang mengambil semua barang itu, namun saya terkejut apabila mengetahui anak lelaki saya itu yang menjual penghawa dingin, tilam, komputer riba dan perkakas rumah untuk mendapatkan wang,” katanya.

Menurutnya, mimpi ngeri mereka sekeluarga berterusan apabila kerap diekori dan pernah ditahan samseng along di Plaza Tol Duta, di sini.

“Along mendakwa anak saya itu masih berhutang RM50,000 dan mereka akan menyebarkan gambar kami sekeluarga di Kuala Lumpur sehingga Penang sekiranya tidak menjelaskan hutang itu,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, semalam.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, 229 kes membabitkan hutang along diterima sejak awal tahun ini sehingga 23 Mei lalu.

“Sebanyak 75 peratus kes membabitkan Cina, 18 peratus Melayu dan tujuh peratus India dan lain-lain.

“Kes along ini dijangka meningkat menjelang musim perlawanan bola sepak Eropah (EURO) bermula bulan hadapan kerana individu ini akan membuat pinjaman untuk berjudi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Disiarkan pada: May 25, 2016 @ 8:57am
d