mutakhir

<strong><em>Hari Seniman sepi, Si Tora menjadi-jadi </em></strong>

Oleh Adam Salleh

Berbaki empat hari lagi warga seni kita akan meraikan Hari Seniman. Tanggal 29 Mei, dua peristiwa penting wajar diingati mereka. Sekiranya warga seni tidak tahu apa ada pada 29 Mei, berbanding mereka lebih mengetahui Ada Apa Dengan Cinta, lebih baiklah beralih ke bidang lain.

Wartawan hiburan pun sama kerana melalui perkongsian informasi, kelompok yang alpa boleh dijentik minda mereka betapa 29 Mei 1973 itulah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ‘menutup mata’. Selang 35 tahun kemudian 29 Mei juga, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mengiktirafnya sebagai Hari Seniman, agar dapat memberi inspirasi pada seniman tanah air kita.

Ketika diumumkan Menteri KPKK ketika itu, Datuk Seri(kini Tan Sri) Dr Rais Yatim majlis Hari Seniman diraikan penuh gegak gumpita selama sebulan dengan pelbagai program menarik disajikan oleh 12 agensi di bawah kementerian dan beberapa persatuan serta NGO.

Itu dulu, berbeza kini untuk 2016 Hari Seniman ini sepi semacam. Tidak nampak adanya pihak mengambil inisiatif bersunguh meraikan Hari Seniman ini walhal keahlian seniman itu (tidak terikat pelakon dan penyanyi) termasuklah kalangan penari kebudayaan ada ribuan orang.

Promosi di televisyen jauh sekali, banner di bahu jalan jauh panggang daripada api. Kalau pun ada setakat ini, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memaklumkan akan meraikan Hari Seniman pada Ahad ini di Mini Pawagam P Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang.

Majlis bertemakan Wasatiyyah Dalam Seni antara pengisiannya tahlil, penyampaian sumbangan dan penyampaian insentif filem cereka. Melalui jemputan dititip Presiden Seniman, Rozaidi Jamil (Zed Zaidi) kepada penulis tempoh hari majlis bermula jam 3.30 petang dengan alunan lagu Negaraku dan lagu Seniman dijangka berakhir jam 6 petang. Tidak dinyatakan berapa lamakan Hari Seniman itu diraikan?

Katakanlah Hari Seniman itu cuma bermula jam 3.30 petang hingga jam 6 petang nanti, eloklah tu persis bagai melepaskan batok di tangga! Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak difahamkan akan hadir pada majlis itu dan siapa tahu kelak diumumkan perayaannya lebih sebulan? Namun lebih molek sebelum 29 Mei jika mahu mengumumkan sesuatu bagi program jadi rancak dan meriah.

Di negara kita ini, persatuan dan yayasan berkaitan seni berlambak. Ada yang mendapat dana kerajaan berjuta ringgit, itu pun dek ‘kertas kerja’ dijaja terpalit perihal kebajikan artis (bagi menyakinkn kerajaan untuk menyalurkan dana) lalu semacam tidak adil sekiranya Hari Seniman itu ‘spotlight’ dihalakan ke Persatuan Seniman semata-mata bagi menjayakan pelbagai program.

Ke manakah perginya Papita (Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air), Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) selain pelbagai persatuan yang bernaung di bawah Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) termasuklah Wham (Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia), adakah Hari Seniman itu, masing-masing lepas tangan?

Persatuan seni di tanah air kita tidak terlepas daripada isu bercakaran, berbeza pendapat seperti mana lima persatuan keluar Gafim baru-baru ini, tetapi di sebaliknya cukup cantik sekiranya Hari Seniman bapat menyatu pelbagai persatuan melalui program dianjurkan.

Jika Gafim itu fungsinya hanya dilihat menyelaras Festival Filem Malaysia (FFM) saja, apa kata tiba Hari Seniman, pihak itu dipertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan NGO bagi menjadikan Hari Seniman bertambah gemilang.

Pengisian Hari Seniman sewajarnya dirai setulus hati oleh anak-anak seni. Apalah makna Hari Seniman jika ramai masih memerah keringat di panas terik, bersengkang mata dan inilah seharusnya dimengerti agar Hari Seniman masing-masing mendapat cuti sehari dari majikan.

Di sisi lain, pujian harus diberi pada Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK) yang baru berusia dua tahun mengambil inisiatif menganjurkan program Bicara P Ramlee ~ Si Tora Harimau Jadian pada Sabtu lalu (21 Mei) di Pustaka P Ramlee Jalan Dedap, Setapak.

Kelab dipengerusikan seniman Ahmad Fauzee dengan nama komersialnya di laman soaial, Fonzz Fauzee mengundang seniwati Fazliyaton (heroin Si Tora), Johari Ibrahim (penyunting) dan Mustapha AR (wartawan hiburan veteran) untuk mengupas filem Si Tora Harimau Jadian itu.

Menariknya program itu kerana itulah filem pertama P Ramlee sebaik berpindah ke Studio Merdeka di Hulu Klang dan satu-satunya filem P Ramlee cukup payah kita tonton. Lebih mahal Fazliyaton adalah seniwati yang sukar kita lihat beliau hadir di mana-mana majlis artis.

Impak penganjuran jelas kartunis veteran, Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat) sanggup datang dari Ipoh memeriahkan majlis. Natijahnya, Bicara P Ramlee anjuran KFMMK bolehlah diumpamakan pembuka tirai Hari Seniman berikutan pelbagai persatuan seni dan agensi tertentu seperti menyepi untuk meraikan satu-satunya hari yang tiada di dunia ini bagi menghargai insan seni yang dipahatkan sebagai Hari Seniman.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: May 25, 2016 @ 1:18pm
d