mutakhir

Cari duit mudah

Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Seorang suami kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambar isteri dan bayinya dipercayai untuk memperdayakan orang ramai di negara ini yang dikesan mula viral di Facebook (FB) sejak dua minggu lalu.

Hasrolnizam Haron, 29, berkata, dia berasa kurang senang apabila pihak terbabit menggunakan gambar isterinya Norhidayah Nasarudin, 28, yang memangku bayi mereka Nur Yuzma Hananya berusia sembilan bulan dengan tujuan untuk memohon bantuan kewangan daripada orang ramai.

Katanya, gambar viral itu dipercayai diambil daripada keratan akhbar, meminta orang ramai menghulur bantuan kewangan, tetapi butiran tertera adalah menggunakan nama orang lain yang tidak dikenalinya.

Dakwanya, latar belakang pada gambar yang viral itu dipercayai sudah diubah bagi mengelakkan perbuatan itu daripada mudah dikesan orang ramai terutamanya pengguna media sosial.

“Memang benar sebelum ini kisah bayi kami yang memerlukan RM20,000 untuk mendapatkan suntikan ‘Palivizumab’ bernilai RM4,000 setiap satu bagi merawat masalah paru-paru kronik disebabkan lahir tidak cukup bulan pernah disiarkan sebuah akhbar tempatan hujung November tahun lalu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu, Nur Yuzma juga sudah menerima lima suntikan ‘Palivizumab’ diperlukan.

“Bagaimanapun, saya kesal apabila ada pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan gambar isteri dan anak untuk kepentingan sendiri.

“Individu berkenaan dan pengguna media sosial lain diharap berhenti menyebarkan gambar itu kerana kami tidak lagi memerlukan bantuan kewangan seperti yang didakwa,” katanya di Pusat Khidmat Barisan Nasional (PEMBELA BN) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah PEMBELA BN negeri Amir Hamzah Abd Aziz berkata, pihaknya menyediakan bantuan guaman kepada pasangan berkenaan untuk mengambil tindakan terhadap pengendali laman FB itu.

“Tindakan mereka (pihak tidak bertanggungjawab) jelas menjejaskan reputasi pasangan itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2016 @ 7:12am
d