mutakhir

Tiada elemen rasuah kes banjir di ibu kota

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang elemen rasuah yang boleh dikaitkan dengan kejadian banjir kilat di ibu kota, baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, SPRM juga mendapati tiada elemen rasuah terbabit dalam pemberian kontrak bagi kerja saliran dan pembersihan sungai yang mengakibatkan banjir kilat itu.

“Perkara pertama tiada sebarang eleman rasuah... kami beri kontrak kepada kontraktor berdasarkan keperluan.

“Jika kontraktor itu tidak mencapai piawaian, kami tamatkan kontrak,” katanya selepas menghadiri Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan SPRM mengenai kejadian banjir kilat itu yang didakwa berlaku akibat rasuah.

Ditanya sama ada siasatan lanjut dilakukan mengenai insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata: “Tak ada apa lagi nak disiasat.”

Dalam kejadian banjir kilat 12 Mei lalu, hampir 100 kenderaan ditenggelami air di Jalan Tuanku Abdul Halim (dulunya dikenali Jalan Duta) dan Jalan Bangsar. - BERNAMA

Disiarkan pada: May 26, 2016 @ 7:15am
d