mutakhir

Wanita OKU lega sambut Ramadan di rumah baru

Bukit Mertajam: “Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami menyambut Ramadan dan Aidilfitri di rumah baru,” kata Siti Aminah Jamalludin, 25, wanita orang kurang upaya (OKU) yang pernah menjadi viral dalam media cetak dan sosial apabila mencari rezeki dengan mengambil upah mengisi dakwat pen menggunakan mulut pada Februari tahun lalu.

Menurutnya, dia dan suaminya, Mohamad Sofi Osman, 29 serta anak lelaki tunggal mereka, Muhammad Nuralif Irfan, 3, kini dapat tinggal dalam keadaan selesa serta bersih selepas berpindah ke kediaman baru di Flat Desa Wawasan di sini, sejak 10 Mei lalu.

Katanya, keadaan kediaman mereka yang sebelum itu terletak di Bagan Dalam, amat daif kerana ia hanya sebuah bilik saja dan di situlah dijadikan ruang tamu serta tempat tidur mereka.

“Kami berjaya mendapatkan kediaman baru ini dengan bantuan abang ketiga, Mohamad Sofi, Kamarulzaman, 31, dan amat berterima kasih kepadanya.

“Malah, semua pakaian dan barang-barang keperluan yang berada di Bagan Dalam dibawa menggunakan keretanya dan kami ulang-alik sebanyak lima kali selama dua hari untuk memindahkan semua barang berkenaan,” katanya.

Siti Aminah berkata, mereka memohon permohonan rumah baru itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Bahagian Perumahan) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sejak Oktober tahun lalu.

“Permohonan kami akhirnya diterima pada awal April lalu dan dalam jangka masa sebulan, baru kami dapat berpindah ke rumah ini yang dikenakan bayaran sewa RM100 sebulan.

“Sebelum memasuki rumah ini, kami perlu menjelaskan wang pendahuluan sewa dua bulan, bayaran bulanan semasa dan cagaran utiliti sebanyak RM400. Selain itu, kami perlu menjelaskan proses bagi pemasangan baru bagi meter elektrik dan air sebanyak RM244.20,” katanya.

Siti Aminah berkata, selain mereka tiga beranak, abang sulung kepada suaminya, Zainal, 36, dan nenek Mohamad Sofi, Minah Mohd Samad, 95, turut tinggal bersama di rumah berkenaan.

Beliau berkata, kediaman asal di Bagan Dalam itu kini diduduki Kamarulzaman, adik iparnya, Mohd Jamil, 28, serta ibu mentuanya, Maznah Mastan, 61.

Menurutnya, Mohamad Sofi yang sebelum ini bekerja mekanik di sebuah bengkel motosikal di Bagan Dalam, kini bekerja sebagai pekerja pembersihan di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Bagan Ajam sejak Februari lalu.

Bagaimanapun, Siti Aminah kini tidak lagi mengambil upah mengisi dakwat pen, malah hanya memasang rantai kunci dengan upah RM80 untuk 10,000 unit dan ia mampu disiapkan dalam tempoh dua minggu.

Sebelum itu, kisah Siti Aminah pernah disiarkan Harian Metro pada 14 Februari tahun lalu mengenai kegigihannya mengambil upah mengisi dakwat pen menggunakan mulut dan tangan kirinya walaupun dilahirkan dengan kedua-dua kaki serta tangan kanannya lumpuh dan hanya tangan kiri mampu berfungsi.

Paling menyedihkan, dia menggunakan tangan kiri dan mulut untuk melakukan kerja memasukkan dakwat ke dalam pen walaupun kadar upah diterima hanya RM4 bagi 1,000 batang pen dan sekiranya bekerja selama 30 hari sebulan, dia hanya mampu memperoleh pendapatan RM20 saja.

Bagaimanapun, selepas kisahnya disiarkan, beliau menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada beberapa pihak individu dan badan bukan kerajaan (NGO) selain disahkan menerima bantuan segera wang tunai, kerusi roda baru dan elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disiarkan pada: May 26, 2016 @ 7:21am
d