mutakhir

'Tiga calon anak tempatan'

Oleh Ismail Muhamad

Kota Bharu: PAS akan meletakkan calon lelaki anak tempatan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemilihan calon bagi kedua-dua PRK itu sudah diputuskan Jawatankuasa Pusat dan akan diumumkan dalam majlis pengisytiharan calon, hari ini.

“Tiga calon semuanya lelaki masing-masing dicadangkan kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan bagi bertanding dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Mesyuarat PAS Pusat baru-baru ini sudah memutuskan calon terbaik dan mereka adalah anak tempatan,” katanya di sini.

Beliau ditanya mengenai bayangan calon yang akan mewakili PAS dalam PRK itu, sekali gus bakal bertanding dengan calon BN selain Parti Amanah Kelantan (PAN).

Mohd Amar berkata, PAS tidak gentar untuk melawan mana-mana parti termasuk PAN malah ia akan dibantu jentera parti yang mantap daripada PAS negeri seluruh Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, sebagai contoh, seramai 30 petugas negeri ini dihantar untuk bantu kempen calon di PRK Kuala Kangsar.

“PAS melihat peluang dan potensi lebih besar dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2016 @ 7:26am
d