mutakhir

Mimpi jadi realiti

Oleh Asrizal Aris

Subang Jaya: Mimpi seorang juruterbang dihadiahkan sebuah kereta menjadi kenyataan selepas memenangi hadiah utama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V dalam peraduan Visa Belanja dan Menang anjuran Pasar raya Besar Giant sejak Februari lalu.

Wan Nazirul Mubin, 30, berkata dia bagaikan masih belum sedar dari mimpi meskipun menerima panggilan kemenangan itu dua minggu lalu dan mengakui tidak mensasarkan sebarang kemenangan.

“Saya hanya menghantar dua penyertaan ketika berbelanja barangan keperluan rumah di Giant beberapa bulan lalu. Memang tak sangka sebab kebetulan pula saya memang merancang untuk membeli sebuah kereta untuk keluarga ramai.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan menganggap ini rezeki anak sulung saya,” katanya selepas menerima kereta itu ketika pelancaran peraduan Visa Belanja dan Menang ‘Raya Ceria Jimat Berganda’ di Pasar raya Giant Subang Jaya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran GCH Retail Malaysia, Saki Goh berkata, peluang untuk pelanggan setia Giant memenangi kereta dibuka semula melalui peraduan Visa Belanja dan Menang sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Pihak kami menawarkan dua kereta Perodua Alza untuk dimenangi dan pelbagai hadiah lumayan bernilai RM146,000 untuk pelanggan bertuah yang berbelanja melalui visa di Giant.

“Hadiah ini adalah sebagai penghargaan kepada pelanggan setia kami yang meningkatkan jumlah pengunjung sebanyak lima peratus menjadikan dua juta pengunjung setiap minggu,” katanya.

Katanya, dia mensasarkan 65,000 penyertaan dalam peraduan itu yang bermula semalam hingga 17 Julai ini.

Bagi pelanggan yang mahu menyertai peraduan itu perlu berbelanja minimum RM80 dalam satu resit dengan menggunakan kredit visa, debit visa atau kad prabayar visa di Giant serta menjawab dua soalan mudah pada setem yang akan diberikan.

Disiarkan pada: May 27, 2016 @ 7:35am
d