mutakhir

Sasar kutip hutang RM15b

Oleh Farah Suhaidah Othman

Kuala Kangsar: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan kutipan semula pembayaran balik pinjaman RM15 bilion menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat ini PTPTN memperoleh kutipan semula pembayaran 49 peratus yang berjumlah RM7.49 bilion.

Katanya, ketika ini ada peningkatan dari segi kutipan balik secara bulanan, namun pihaknya mahu mencapai sasaran RM15 bilion itu daripada RM55 bilion yang dikeluarkan.

“Sebab itu kita melaksanakan pelbagai pendekatan terutama membabitkan penguatkuasaan yang bukan bermaksud menekan peminjam sebaliknya menjamin kelestarian serta kemampuan PTPTN untuk memberi pinjaman kepada pelajar baru,” katanya selepas menghadiri Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Muzwin, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN Mastura Mohd Khalid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan Maslin Sham Razman.

Shamsul Anuar berkata, pihaknya kini dalam peringkat kajian berhubung kutipan semula pinjaman menerusi pemotongan gaji kepada kakitangan swasta.

“Bagi kakitangan kerajaan, kita melaksanakan pendekatan itu, namun kita dalam proses perancangan kepada sektor lain berikutan penerima biaya kita terdiri daripada pelbagai kelompok, ada yang sektor awam dan swasta serta bekerja sendiri.

“Jadi pendekatan yang kita lakukan berbeza untuk mendapatkan pembayaran balik, yang penting kita mahu mencapai sasaran kita,” katanya.

Terdahulu dalam program berkenaan, pihaknya turut memberikan sumbangan RM10,000 kepada SK Raja Perempuan Muzwin menerusi Program Kecemerlangan UPSR 2016 dan bantuan dalam bentuk barang keperluan rumah bernilai RM5,000 kepada 50 keluarga kurang kemampuan bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Shamsul Anuar berkata, program berkenaan usaha baru PTPTN yang dijalinkan bersama BAIDURI bagi memberi galakan kepada pelajar peringkat rendah menerusi program mesra pelajar.

Disiarkan pada: May 27, 2016 @ 7:38am
d