mutakhir

Jangan penting diri

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jangan pentingkan diri dengan menggunakan lorong kecemasan sesuka hati. Itu nasihat Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail terhadap pengguna lebuh raya.

Beliau berkata, pemanduan di lorong kecemasan oleh kenderaan awam boleh menghalang pemandu van ambulans dalam perjalanan menghantar mangsa ke hospital selain mengganggu kelancaran tugas anggota polis dan bomba ke tempat kejadian bagi menjalankan tugas menyelamat.

Berikutan itu, kerjasama pengguna lebuh raya diharapkan bagi mengelak insiden kelewatan ambulans akibat penggunaan lorong kecemasan oleh kenderaan awam.

“Setiap lebuh raya mempunyai lorong kecemasan di sebelah kiri laluan yang dikhaskan untuk ambulans dan kenderaan pihak berkuasa seperti polis serta bomba.

“Namun, sejak kebelakangan ini, ada antara pengguna yang mengambil kesempatan menjadikan lorong kecemasan sebagai laluan pintas kerana tidak sabar menempuh kesesakan lalu lintas sedangkan mereka sedar tindakan itu adalah satu kesalahan.

“Justeru, kita berharap semua pengguna tidak kira kenderaan ringan atau berat akan memberi kerjasama dan lebih bertimbang rasa ketika memandu di lebuh raya ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Latihan Bencana Kemalangan Ops Besraya 02/16 di Hentian Sebelah Plaza Tol Loke Yew, Lebuh raya Sungai Besi (BESRAYA), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Kanan BESRAYA Sdn Bhd Md Zohir Harun.

Program bermula jam 10 pagi itu julung kali diadakan dengan kerjasama Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan St John Ambulans.

Menurut Azizan, latihan seumpama itu penting bagi memberi pendedahan kepada kakitangan lebuh raya dalam mengendalikan kes seperti kemalangan jalan raya yang dijangka meningkat pada musim perayaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga dapat melatih anggota bomba untuk ke lokasi kejadian mengikut masa ditetapkan selain menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Sementara itu, Md Zohir berkata, program itu dapat menguji kepakaran anggota bomba dan petugas lebuh raya dalam membantu mangsa yang terbabit dengan kemalangan dan berharap kerjasama dengan agensi terbabit dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

“Secara purata setiap bulan, kira-kira 20 kemalangan termasuk membabitkan kematian berlaku di lebuh raya ini dan kebanyakannya adalah penunggang motosikal.

“Kebanyakan kes disebabkan pemanduan laju dan kecuaian pemandu,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2016 @ 7:40am
d