mutakhir

'Terima kasih bantu kami'

Oleh myMetro

Tumpat: “Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih Media Prima Berhad (MPB),” kata Sa’aidi Jusoh, 54, bapa kepada Siti Nur Anisha, 1, yang menderita sindrom Down dan barah usus serta jantung berlubang sejak lahir.

Beliau menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP RM3,000 bagi menampung kos rawatan anaknya itu.

Sa’aidi berkata, hanya ucapan terima kasih mampu diucapkan kepada pihak yang menyumbang untuk kebajikan anaknya terutama selepas kisah mereka disiarkan Harian Metro, 16 April lalu.

Beliau mengakui banyak pihak tampil dan menghubunginya untuk memberi sumbangan dan semangat susulan tersiarnya berita itu.

“Hanya Allah SWT dapat membalasnya dan semoga semuanya diberkati. Saya terharu dan tak tahu apa lagi yang perlu diucapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Baru, di sini, semalam. Turut hadir, isterinya Siti Rokiah Mat Jusoh, 47.

Menurutnya, dia akan menggunakan sumbangan berkenaan untuk kos rawatan anaknya selain berharap Anisha dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain selepas ini.

Katanya, Anisha dibawa berjumpa pakar pemakanan 14 Jun nanti manakala pada Ogos akan menjalani pemeriksaan dengan pakar kanak-kanak dan pakar bedah pada Oktober di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Sementara itu, sumbangan Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP itu disampaikan Eksekutif Kumpulan Komunikasi Korporat MPB, Mohamad Farris Effendy Md Salim yang memberitahu bakal dimanfaatkan untuk kos rawatan selain bil rawatan yang tertunggak.

Disiarkan pada: May 27, 2016 @ 10:16am
d