mutakhir

Kapal angkasa terkenal

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Taman tema bertemakan LEGO® pertama di Asia, LEGOLAND® Malaysia Resort bersedia menerima kunjungan kanak-kanak bersama keluarga mereka berikutan cuti sekolah yang bermula.

Pastinya pengunjung yang menantikan kehadiran cuti sekolah untuk menikmati keseronokan sempena Hari LEGO® Star Wars™ yang disambut sepanjang bulan ini risau kerana Mei hampir melabuhkan tirainya.

Bagaimanapun, usah risau kerana replika LEGO® Millennium Falcon terbesar di dunia akan terus berada di LEGOLAND Malaysia Resort di Iskandar Puteri, di sini sehingga akhir Jun ini.

Tidak ketinggalan, dua lagi replika LEGO® TIE Fighters di taman tema itu untuk dijadikan tatapan pengunjung.

Kedua-dua replika ini boleh didapati di Restoran Pizza Mania, Taman Tema dan sesuai untuk peminat Star Wars™ mengambil gambar sebagai kenangan kerana replika ini hanya dipamerkan sehingga hujung bulan Jun saja.

Replika kapal angkasa terkenal dalam filem Star Wars itu dihasilkan pasangan bapa dan anak yang juga Master LEGO®, Dan Steininger dan Chris Steininger diterbangkan khas dari Amerika Syarikat.

Ia dibina menggunakan 250,000 bata (brick) LEGO® dalam masa empat hari dan mendapat sentuhan pengunjung LEGOLAND Malaysia Resort sama ada dewasa mahupun kanak-kanak yang membantu memasang bata LEGO® itu bermula 30 April lalu.

Pengarah Pemasaran LEGOLAND Malaysia Resort, Thila Munusamy berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang Mei lalu sempena Hari LEGO® Star Wars™ bagi mewujudkan kelainan kepada pengunjung setia LEGOLAND Malaysia Resort.

“Selain aktiviti membina replika kapal Star Wars terbesar di dunia, kami menyediakan aktiviti lain seperti ‘Imperial March’ dengan mempamerkan 90 kostum daripada 501st Legion dalam pelbagai karakter filem berkenaan.

“Pelbagai pertandingan diadakan termasuk My Own Creation (MOC) di mana peserta dari sejauh Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura dan pastinya Malaysia bertanding dan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, peminat Star Wars boleh membina dan membawa pulang replika mini Millennium Falcon setiap hari minggu.

Sepanjang Mei lalu, sambutan diterima daripada pengunjung LEGOLAND Malaysia Resort amat menggalakkan dan jangan ketinggalan untuk menikmati keseronokan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang cuti sekolah ini. Layari www.legoland.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: May 28, 2016 @ 7:07am
d