mutakhir

Macam fantasi

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Sebaik kaki melangkah masuk, terasa seolah-olah mengikuti suatu siri penjelajahan penuh mistik dan misteri yang sering dipertontonkan dalam filem fantasi.

Itu antara pengalaman menanti pengunjung tatkala memasuki ‘Magical Gardens’ atau Taman Ajaib iaitu satu daripada tarikan disediakan sempena Festival Floria Diraja 2016 berlangsung di Anjung Floria, Presint 4 di sini.

Pengunjung yang memasuki Taman Ajaib itu perlu melalui Taman Kekwa (Chrysanthemum Garden) terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke Hutan Mistik (Mystical Forest).

Dari situ, pengunjung melalui laluan dipenuhi bunga rafflesia dan cendawan yang bercahaya dalam gelap serta hutan bakau sekali gus menghidupkan lagi suasana di alam fantasi.

Bukan itu saja, tinjauan Metro Ahad di festival berkenaan semalam, yang bermula Jumaat lalu hingga 4 Jun ini mendapati, kehadiran pengunjung tidak putus-putus walaupun cuaca agak terik bermula dari tengah hari hingga ke petang.

Pengunjung Siti Shaibah Muhamad, 32, berkata, dia pertama kali mengunjungi Festival Floria Diraja dan sebelum ini hanya membaca dan melihat penganjuran acara itu menerusi televisyen.

Menurutnya, dia dan suami serta anak kembarnya tinggal di Kubang Kerian, Kelantan serta bercuti ke Putrajaya untuk mengunjungi festival berkenaan.

“Kami sekeluarga menumpang tidur di rumah saudara di sini dan hari ini (semalam) berkesempatan melihat dan merasai pengalaman di festival ini.

“Saya memang suka bunga serta tanaman dan apabila mendapat peluang mengunjungi festival ini, sedikit sebanyak ia memberi idea kepada saya,” katanya, semalam.

Disiarkan pada: May 29, 2016 @ 5:12am
d