mutakhir

Bongkar rahsia gelabah

Oleh Mohd Shafik Zainol Abidin

Alor Gajah: Gelagat seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria, yang menggelabah ketika melalui sekatan jalan raya membongkar rahsianya yang membawa muatan 20 kilogram (kg) daun ketum.

Lelaki terbabit memberi pelbagai alasan bagi mengelak ditahan polis termasuk mendakwa daun itu bagi kegunaan sendiri dan bukan untuk dijual.

Terdahulu, dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, jam 1 pagi semalam, pasukan anggota polis menahan sebuah Naza Ria untuk pemeriksaan lanjut selepas pemandunya berusia 30-an didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam kenderaan itu, polis menemui botol yang disyaki mengandungi air ketum siap diproses.

“Lelaki terbabit mendakwa daun ketum itu untuk kegunaan sendiri, namun jumlahnya yang banyak menimbulkan curiga. Ketika ditahan lelaki terbabit memandu seorang diri dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pekan Alor Gajah.

“Polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan maklumat dari mana dia memperoleh bekalan daun berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama, Jabatan Imigresen negeri menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 49 tahun bagi membantu siasatan selepas disyaki memiliki pasport palsu.

“Ketika ditahan, wanita terbabit bersama tiga lagi rakannya menaiki kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai untuk ke rumah majikannya kerana mempunyai urusan kerja.

“Dia menghubungi majikannya untuk memaklumkan perkara itu, namun pegawai imigresen menahannya untuk melakukan siasatan lanjut berhubung pemilikan dokumen disyaki palsu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Asisten Superintendan Zuki Abd Ghani berkata, operasi bersepadu bermula 11 malam hingga 2 pagi itu membabitkan 101 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Antara agensi terbabit adalah Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).

“Sepanjang tiga jam operasi kami mengeluarkan 30 saman, manakala JPJ turut mengeluarkan 13 saman kepada pemandu dan penunggang atas pelbagai kesalahan jalan raya yang dikesan,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2016 @ 7:43am
d