mutakhir

Pengalaman di angkasa lepas

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Merasai pengalaman seperti di angkasa lepas antara tarikan terbaru Planetarium Negara bermula Julai ini.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr Noordin Ahmad berkata, ini berikutan bangunan itu kini diubah suai sebanyak 70 peratus termasuk memasang mesin simulator baru yang bakal menarik perhatian dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

“Sebaik siap pengubahsuaian, pengunjung boleh merasai mesin simulator yang dikenali sebagai ‘Space Flight Simulator’ yang memberi pengalaman angkasawan sebenar seperti Datuk Sheikh Muszaphar Shukor ketika latihan sebelum ke angkasa lepas.

“Mesin ini seperti kapal yang boleh membawa anda ke angkasa untuk melihat bintang, tetapi pengunjung bakal merasakan cabaran apabila tarikan vakum yang membolehkan pengunjung terapung seperti realiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Penutup Kem Antara Langit dan Bumi (ALAMI), di sini, semalam.

Program ALAMI yang berkonsepkan ‘Space and Me’ yang diadakan bermula 28 Mei lalu adalah antara inisiatif untuk menarik minat pelajar mendekati dunia sains.

Beliau berkata, program yang dijalankan sejak lapan tahun lalu itu bertujuan memupuk minat pelajar sekolah mengenai sains dengan menggunakan kaedah simulasi sistem Full Digital System (FDS) yang terdapat di Planetarium Negara.

“Bermula hari ini (semalam) 70 peserta yang berusia 10 hingga 12 tahun dari seluruh negara berkhemah selama dua hari satu malam di kem ini untuk mempelajari sains angkasa dan astronomi,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2016 @ 11:20am
d