mutakhir

'Bantu saudara kita'

Oleh Amirol Amin Abu Bakar

Kuala Lumpur: Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan ‘Tabung Infaq Ramadan (Dekat Di Mata Lekat Di Hati) MRA’ bagi membantu 5,000 keluarga yang tidak berkemampuan serta 3,000 anak yatim di dalam dan luar negara.

Ini termasuk negara yang dilanda konflik dan peperangan seperti Syria, Nepal, Arakan (Myanmar), Selatan Thailand dan Yaman.

Timbalan Presiden MRA Khairil Annuar Khalid berkata, untuk kali ini pihaknya akan lebih menumpukan bantuan kepada Yaman kerana kurang mendapat perhatian dari luar.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 15.9 juta rakyat Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan, 13.1 juta tiada air bersih dan perubatan yang mencukupi, manakala 830,000 kanak-kanak kekurangan zat.

“Hal ini kerana mereka terkepung di dalam kelompok mereka sendiri dan hanya menunggu bantuan dari luar seperti MRA.

“Bagi melancarkan penyaluran bantuan ini, pihak kami akan bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan di Yaman iaitu Charitable Society for Social Welfare (CSSW),” katanya dalam majlis pelancaran itu di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, di sini, semalam.

Menurut Khairil, antara bantuan yang akan disalurkan ialah pek makanan bagi setiap keluarga dan bantuan sebanyak RM50 kepada anak yatim.

Katanya, pihaknya mengambil kesempatan ini sempena ketibaan bulan Ramadan supaya golongan berkenaan dapat menyediakan makanan berbuka dan bersahur.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, mereka akan rasa dihargai dan tidak dipinggirkan masyarakat dunia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (5640 9820 6365) atas nama Malaysian Relief Agency.

Disiarkan pada: May 31, 2016 @ 7:33am
d