mutakhir

'Husam boleh datang...'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: “Dia boleh datang, kita bagi dia pemerhati sajalah,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengulas mengenai ‘permintaan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Salor Datuk Husam Musa untuk menghadiri Muktamar PAS ke-62.

Menurutnya, pemimpin itu sudah diisytihar tidak berparti dan pihaknya tidak boleh membenarkannya menghadiri perhimpunan sebagai perwakilan lagi.

Katanya, parti itu juga tidak akan menyekat mana-mana bekas ahlinya yang lain untuk turut serta sebagai pemerhati.

“Sesiapa saja boleh hadir, termasuk ADUN Salor dan PAS tidak pernah menyekat kehadiran beliau ke muktamar ini.

“Husam adalah pemimpin yang tidak berparti, jika dia nak hadir...boleh tetapi sebagai pemerhati kerana dia bukan ahli PAS lagi.

“Kita juga serahkan soal kedudukan Husam kepada Speaker yang akan tentukan dalam Sidang DUN pada 1 dan 2 Jun nanti,” katanya ketika sidang media di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Beliau juga meminta Husam supaya mengikut saluran yang betul dalam permohonan nya untuk kembali bersama parti itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Husam dalam satu ceramahnya di ibu kota, baru-baru ini, yang mendakwa dirinya dihalang untuk mengikuti muktamar itu.

Muktamar PAS Ke-62 akan berlangsung hari ini sehingga 3 Jun akan dihadiri 1,500 perwakilan dari seluruh negara dengan 300 muka baru.

Takiyuddin berkata, muktamar kali ini juga tidak akan membincangkan isu Parti Amanah Rakyat (Amanah), sebaliknya menumpu kepada perkara lain lebih utama termasuk hala tuju parti itu.

Beliau juga menafikan tindakan mengadakan taklimat presiden secara tertutup pada Rabu kerana sengaja merahsiakan ucapan dasar presiden parti.

“Taklimat tertutup itu kerana mahu membincangkan hal berkaitan pengurusan parti. Kita buat begitu untuk kurangkan masa berucap sebaliknya mahu fokus kepada kepentingan ahli nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2016 @ 7:37am
d